Aktiviti & Komuniti

Syukur Solat Jumaat Kembali Tanpa Penjarakan, Tengku Adnan Rasai Perbezaan

PUTRAJAYA – Buat kaum Adam tentunya kekangan melalui pandemik COVID-19 amat dirasai apabila tibanya hari Jumaat lantaran pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang menidakkan mereka menunaikan solat Jumaat selain penjarakan dan jumlah jemaah yang amat terhad.

Namun demikian, mulai 1 April lalu, tiada lagi penjarakan fizikal untuk solat berjemaah di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dan jemaah boleh merapatkan saf.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan rasa gembira kerana dapat kembali bersama-sama berjemaah dengan komuniti setempat.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat menunaikan sembahyang Jumaat di Surau Al-Manar P14 Putrajaya dan dapat lihat pebezaan sewaktu musim COVID apabila kita terpaksa jaga jarak dan SOP.

“Syukur sekarang sembayang sudah tiada penjarakan dan terima kasih kepada semua Jemaah yang sentiasa ikut saf.

“Makmurkan masjid dan surau Putrajaya dulu kini dan selamanya,” katanya.

Dilaporkan, sejak awal bulan ini, kehadiran ke masjid dan surau juga dibenarkan tanpa had umur kepada individu yang telah menerima vaksin COVID-19, malah masjid dan surau dibenar mengerjakan solat sunat terawih 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan, begitu juga aktiviti qiyamullail selepas tengah malam. – UMNOPutrajaya