Berita

Terima Kasih Keluarga Besar Putrajaya, Syukur Acara Besar Kembali Dilaksana – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merakamkan penghargaan dan kesukuran kerana acara besar sebagaimana Karnival Ketua Kampung Putrajaya dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 kembali meraikan masyarakat setempat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya atau lebih dikenali sebagai ‘ketua kampung’ berkata demikian lantaran sebelum ini, selama lebih dua tahun rakyat terkurung dengan pergerakan amat terbatas akibat pandemic COVID-19 di samping suasana ekonomi dan keadaan politik yang tidak stabil.

“Alhamdulillah hari ini bersama rakyat dalam keluarga besar Putrajaya. Dah lama program begini tak dilaksana, syukur kita dapat kembali berkumpul dan memeriahkan program Karnival Putrajaya dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Ada macam-macam acara termasuk cabutan bertuah. Hadiah utama sebuah kereta dan banyak hadiah-hadiah lain diagihkan.

“Terima kasih keluarga besar Putrajaya yang memeriahkan karnival ini, termasuklah para jawatankuasa dan pemimpin setempat yang bertungkus-lumus menjayakannya. Saya amat hargai sokongan semua pihak dan moga kita terus diberikan kesempatan untuk kesihatan dan kesejahteraan serta acara yang lain nanti,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan bahawa acara sedemikian sememangnya telah menjadi program tahunan bagi warga Putrajaya yang dilestarikan ideanya oleh Datuk Seri Tengku Adnan sendiri. – UMNOPutrajaya