BN Mesti Bersiap Sedia PRU-15 Bila-bila Masa, Fokus Tiga Gerak Kerja Utama – PM
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Barisan Nasional (BN) hendaklah sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mengenai tarikh PRU, sebagaimana yang amanahkan oleh Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dan Majlis Kerja Tertinggi, ia akan dibincangkan serta diputuskan oleh ‘top five’ parti termasuk ketua parti komponen.
Justeru, bagi menghadapi PRU itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menggariskan tiga gerak kerja utama yang perlu dilaksanakan oleh parti.
Pertama katanya, BN mesti sentiasa berusaha untuk mencapai budaya kerja kelas pertama yang ditafsirkan sebagai berpasukan, berdisiplin dan kesetiaan kepada parti.
“Pemimpin dan ahli BN yang setia bukanlah yang ada ketika senang sahaja, namun tetap setia walau dilambung badai setinggi mana pun. Terima kasih dan tahniah kepada MCA, MIC, PBRS dan rakan-rakan BN yang tetap setia walau kalah ketika PRU-14.
“Yang berada dalam dewan ini, sudah teruji kesetiaannya. Seinci pun tidak berganjak dari parti walau berdepan dengan ugutan, tekanan, ancaman mahupun tawaran yang menggiurkan,” katanya ketika berucap di Konvesyen dan Majlis Sambutan Ulang Tahun BN Ke-48 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi Datuk Seri Mohamad Hasan, presiden parti-parti komponen, Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan pengerusi parti-parti gabungan BN.
Tambah Ismail Sabri, BN juga perlu berusaha memenangi hati rakyat dan beliau komited akan memastikan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat.
“Selain itu, perkhidmatan yang terbaik harus diberikan kepada rakyat. Kerajaan sentiasa cakna, mengambil berat, mencari inisiatif terbaik dan segera menyelesaikan masalah setempat,” katanya.
Tambahnya lagi, gerak kerja yang ketiga adalah merangka formula strategi kemenangan PRU-15 dengan fokus kepada pemantapan jentera pilihan raya di antara parti komponen.
Selain itu ujarnya, parti juga perlu memperbaharui ikrar untuk menjadi yang terbaik dan seterusnya meneruskan kelangsungan perjuangan memartabatkan negara.
“Marilah kita sematkan dalam jiwa, dengan ikrar dan tekad penuh jitu, untuk memperkukuh kerjasama antara parti komponen. Kita juga perlu jauhi anasir-anasir luar yang sentiasa menanam bibit perpecahan sesama kita.
“Sesungguhnya, ikrar kita pada hari ini adalah untuk memenangi PRU-15 dengan majoriti 2/3 kerusi di Dewan Rakyat bagi membolehkan kita meneruskan agenda membantu rakyat dan memakmurkan negara. Insya-Allah.
“Kerajaan Barisan Nasional yang kuat akan mewujudkan kestabilan politik di dalam negara, dan sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rantau ASEAN,” katanya.
Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan parti kerana telah memberikan kepercayaan kepadanya sebagai Perdana Menteri bagi menerajui tampuk kepimpinan negara pada 21 Ogos tahun lalu.
“Terima kasih juga kepada semua parti komponen kerana menyokong saya sebagai ‘poster boy’ dan sekaligus sebagai calon Perdana Menteri ke-10 bagi menghadapi PRU-15, sepertimana yang telah diputuskan sebulat suara oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan direstui oleh semua parti komponen BN.
“Amanah yang diberikan ini bukanlah mudah. Ia merupakan tanggungjawab yang berat. Bukan hanya untuk saya tetapi dipikul bersama anggota BN. Jatuh bangun dan kalah menang parti kita bergantung atas kebersamaan, bak kata pepatah; Terapung sama hanyut, terendam sama basah,” katanya.
Begitu juga katanya, agenda Keluarga Malaysia yang beliau gagaskan adalah selari dengan konsep permuafakatan dan perkongsian kuasa BN yang dalamnya terdapat kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.
“Gandingan BN sebati dengan DNA Keluarga Malaysia. Konsep inilah yang menjamin kestabilan parti kita. Marilah kita terus bersama-sama memperkasakan Keluarga BN bagi menghadapi PRU-15,” ujarnya. – UMNO ONLINE
You must be logged in to post a comment.