Berita

Program Korban & Kenduri Rakyat Simbolik Kebersamaan Keluarga Besar Putrajaya

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan penganjuran Program Korban UMNO Putrajaya yang dilaksanakan sempena Aidiladha 2022 di sini.

Katanya, majlis seumpama ini memberikanmakna yang cukup besar kepada keluarga besar Putrajaya kerana ianya menjadi platform terbaik bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk.

“Saya juga gembira kerana program ini berjalan lancar, ada kesatuan dan permuafakatan malah saya berharap agar silaturrahim ini kekal kukuh setiap masa.

“Program ini adalah acara tahunan yang terhenti ketika pandemik COVID-19 dan kali ini kita kembalikan suasana bergotong-royong bersama-sama. Semoga ibadah korban ini akan diterima oleh Allah SWT,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua yang hadir serta menjayakan program ibadah korban dan kenduri rakyat Putrajaya.

“Terima kasih kepada semua, penglibatan dan dukungan semua pihak kepada program bersama rakyat amat besar maknanya bukan sahaja untuk UMNO tetapi juga kepada kesejahteraan warga Putrajaya,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya