Berita

UMNO Putrajaya Sokong Perjuangan Kenaikan Gaji Penjawat Awam, Harap Kerajaan Pandang Serius

PUTRAJAYA, 7 Ogos – UMNO Putrajaya menyokong perjuangan untuk peningkatan gaji skim penjawatan kerajaan.

Menerusi kenyataan media selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya yang dipengerusikan oleh ketuanya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, memaklumkan bahawa ia selaras dengan kenaikan gaji tahunan yang dijanjikan Barisan Nasional ketika PRU ke-14 dan adalah wajar dipertimbang semula untuk menjaga kebajikan penjawat awam.

“UMNO Bahagian Putrajaya memandang serius perjuangan ini dan memberikan sokongan penuh kepada CUEPACS untuk memelihara kepentingan penjawat awam di seluruh negara.

“UMNO Putrajaya meminta kerajaan mengkaji semula gaji dan elaun Kakitangan Awam sejajar dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Mesyuarat juga bersetuju untuk turun sama berpiket bersama dengan CUEPACS sekiranya ia diadakan,” katanya.

Menurut kenyataan terbabit, beberapa perkara telah diteliti agar perjuangan CUEPACS sewajarnya diangkat dan disokong pelbagai pihak seperti berikut;

1. Sudah lama penjawat awam menggunakan skim gaji yang lama yang tiada penambaikan dan semakan gaji kerajaan sejak sekian lamanya. Kali terakhirpenetapan gaji minimum pada takat RM 1 200 sebelum ini diperkenal pada tahun 2013. Pemberian Kenaikan Gaji Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia kali terakhir pula hanya dilaksanakan pada 15 tahun yang lalu (2007).

2. Peningkatan kos sara hidup yang dirasai seluruh dunia sudah pasti dirasai semua termasuk penjawat awam. Ia sedikit sebanyak membantu penjawat awam untuk menampung kenaikan kos sara hidup yang tidak boleh dielakkan.

3. Gaji penjawat awam di negara Asia yang lain juga adalah lebih tinggi mengikut dapatan purata yang dikeluarkan oleh Bank Dunia termasuklah India, Korea, dan negara jiran Thailand. Peningkatan gaji adalah penting untuk membantu kawalan gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam. – UMNOPutrajaya