Berita

Persidangan Cawangan UMNO Putrajaya Semarakkan Perjuangan

PUTRAJAYA – Tarikh persidangan UMNO peringkat Cawangan yang berlangsung sejak 15 Ogos hingga 18 September nanti turut menjadi keutamaan kepada ahli-ahli UMNO Bahagian Putrajaya yang memanfaatkan hujung minggu untuk bersama-sama melunaskan tanggungjawab.

Amanah kepada parti iaitu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan demi agama, bangsa dan negara iaitu asas utama penubuhan UMNO adalah antara tekad utama anggota parti termasuklah menjayakan mesyuarat UMNO Peringkat Cawangan.

Dalam hal ini, UMNO Cawangan Matahari yang diketuai oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya telah mengadakan persidangan serentak dengan melibatkan anggota Wanita, Pemuda dan Puteri yang kemudiannya disusuli peringkat Cawangan.

Mesyuarat yang berlangsung dengan tertib dan mengikut etika persidangan UMNO mengumpulkan anggota Cawangan Matahari dengan tekad untuk terus menyemarakkan perjuangan.

Mesyuarat tersebut telah diadakan di kediaman Tengku Adnan sendiri di Presint 10, di sini.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan bahawa tarikh persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2022 dilaksanakan bermula Ogos lalu.

Selepas berlangsungnya mesyuarat peringkat Cawangan, menyusul ialah tarikh Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Bahagian iaitu pada 7, 8 dan 9 Oktober 2022 sementara Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian ditetapkan pada 14, 15 dan 16 Oktober 2022.

Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 pula dijadualkan pada 23 hingga 26 November 2022. – UMNOPutrajaya