Perkukuh Cawangan UMNO, Tekad Akar Umbi Tolak Fitnah Burukkan Parti Depani PRU15
PUTRAJAYA – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa mesyuarat UMNO peringkat Cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini adalah ruang terbaik untuk memperkukuh akar umbi dalam menjayakan hasrat parti mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Katanya, anggota UMNO di peringkat akar umbi adalah jentera terbaik parti yang sentiasa menjadi aspirasi kepada kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan negara.
“Ahli-ahli UMNO diperingkat Cawangan adalah jentera parti yang sentiasa kekal bersatu, bersetia dan berkhidmat maka tugas kita semua adalah menolak fitnah-fitnah mereka yang sekarang ini kembali menjadi bahan untuk merosakkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).”
Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian ketika menjayakan mesyuarat cawangannya, Matahari pada Sabtu.
Tegasnya, terlalu banyak fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak lawan kepada UMNO/BN sebagaimana dalam PRU ke-14 lalu hinggakan ramai yang keliru dan natijahnya rakyat Malaysia telah merasai dalam kerajaan 22 bulan.
“Dulu UMNO/BN dituduh macam-macam biarpun sebenarnya banyak yang tak betul hinggakan kerajaan bertukar. Mereka janjikan macam-macam kepada rakyat, kepada anak muda namun malang bila dah menang mereka lupa dan tak tunaikan janji-janji yang dah buat mereka menang.
“Mereka (PH) bukan benar-benar nak berkhidmat atau nak bantu rakyat sebaliknya hanya mahukan kuasa, pangkat dan kedudukan yang kemudiannya menguntungkan sesame mereka dan jadikan kuasa dengan ikut suka hati mereka sendiri.”
Lantaran itu katanya, tugas utama anggota parti adalah memperkukuh akar umbi sendiri lantas menolak mana-mana pihak yang bukan hanya memburukkan UMNO/BN tetapi juga yang bercakap tidak berlandaskan fakta.
“Cakap memang senang, semua orang boleh bercakap tetapi adakah apa yang dicakapkan itu betul atau tidak. Kita ahli parti jangan pula terpengaruh sebaliknya kitalah yang perlu pertahankan parti kita, nyatakan kebenaran dan berikan hujah yang benar, betul dan bukan ada agenda apa-apa,” katanya.
Ujar Tengku Adnan, sekarang ini semakin ramai pihak sana yang mula muncul semula malah ada yang dianggap ‘hidup kembali’ lantaran hilang selepas sahaja PRU ke-14 lalu.
“Tapi sekarang ini mereka muncul dengan macam-macam cerita lagi, isu itu isu ini diangkat sebagai cubaan untuk memburukkan kembali UMNO/BN, nak burukkan kepimpinan parti lantas cuba kembali mengelirukan anggota parti khususnya pengundi dan orang ramai.
“Jadi pesan saya, cukuplah sekali kita tertipu dan jangan kita percaya pada mereka lagi yang dah rosakkan negara kita. Ayuhlah kita terus mara dan perukuh UMNO dengan tekad demi kemenangan PRU ke-15,” katanya lagi.
Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan bahawa tarikh persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2022 dilaksanakan bermula Ogos.
Ia bermula dengan persidangan UMNO peringkat Cawangan yang berlangsung sejak 15 Ogos hingga 18 September ini.
Selepas itu, menyusul ialah tarikh Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Bahagian iaitu pada 7, 8 dan 9 Oktober 2022 sementara Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian ditetapkan pada 14, 15 dan 16 Oktober 2022.
Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 pula dijadualkan pada 23 hingga 26 November depan. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.