Berita

Kenyataan Media MKT – Pembubaran Parlimen Jalan Terbaik

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang berlangsung pada 10 Oktober 2022 telah membuat ketetapan berikut:-

1. Membincangkan beberapa isu berkaitan dengan gerak kerja dan persiapan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 setelah Parlimen dengan rasminya dibubarkan.

2. UMNO menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Baginda untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

3. UMNO menghormati titah Tuanku bahkan berpendirian serupa bahawa negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik yang tidak menentu bahkan perlu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk mereka memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara.

4. UMNO berpendirian pembubaran Parlimen adalah merupakan jalan terbaik memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran sebelum ini makin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri dalam mentadbir negara. Malah mengisytiharkan UMNO dan BN sebagai musuh utama hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui Kerajaan.

5. UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU-15. UMNO berpendapat PRU-15 boleh diadakan sebelum pertengahan November, iaitu sebelum menjelangnya musim banjir atau musim tengkujuh.

6. Berkaitan dengan PRU-15, dimaklumkan bahawa tarikh baru Perhimpunan Agung UMNO yang sebelum ini ditentukan pada 23-26 November 2022 akan diubah kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

7. Mesyuarat juga bersetuju agar tema utama manifesto bagi PRU-15 ialah “Kestabilan Dan Kemakmuran”. Tema seumpama ini telah digunakan sewaktu PRN Melaka dan PRN Johor sebelum ini. Ianya akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional.

DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
SETIAUSAHA AGUNG UMNO

10 OKTOBER 2022

KENYATAAN MEDIA 10 OKTOBER 2022