Aktiviti & KomunitiBerita

Semarak Jentera Iringi Tengku Adnan Pertahan Parlimen Putrajaya

PUTRAJAYA, 5 Nov – Pekarangan Kompleks Kejiranan Presint 9 dimeriahkan dengan paluan rebana dan sokongan lebih 5,000 jentera yang bersolidariti demi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan dalam mempertahankan kerusi Putrajaya.

Sebelum berarak ke kawasan pekarangan pusat penamaan calon, bacaan doa turut dilakukan bagi memberkati urusan yang dilaksana.

Sambil berjalan, Tengku Adnan yang lengkap berpakaian baju Melayu biru diiringi selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Waktu penamaan calon dibuka bermula 9.00 pagi dan ditutup sejam kemudian.

Parlimen Putrajaya bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon dari BN, Perikatan Nasional (PN), Pejuang, Pakatan Harapan (PH).

Difahamkan juga, dua calon bebas menghantar borang penamaan calon pagi ini.

Untuk rekod, Parlimen Putrajaya disandang Tengku Adnan yang memegang kerusi berkenaan selama empat penggal dan pada PRU14, beliau menang dengan majoriti 3,372 undi.

Beliau memperoleh sebanyak 12,148 undi menewaskan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat yang masing-masing memperoleh undi sebanyak 3,634 dan 8,776. – UMNO Online