Berita

Tengku Adnan Ditentang Lima Calon Lain, Pilih Yang Terbaik Untuk Kestabilan Dan Kemakmuran

PUTRAJAYA, 5 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ditentang lima calon lain dalam usaha untuk mempertahankan kerusi terbabit menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kali ini.

Katanya sebagai negara demokrasi sesiapa sahaja bebas untuk menawarkan diri bertanding dalam PRU ini.

“Mula-mula satu lawan satu, kemudian tiga lawan satu tapi kali ini ada enam. Tapi tak apalah kerana ini semua hak masing-masing bagi negara demokrasi.

“Siapa nak tawarkan diri boleh berbuat demikian kerana yang penting siapa yang boleh beri khidmat kepada rakyat, demi kemakmuran dan kestabilan,” katanya selepas sesi penamaan calon bagi Parlimen terbabit yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama beliau berharap agar jentera-jentera BN akan bekerja terus bekerja lebih kuat dan pastikan kemenangan BN di Putrajaya dan juga di seluruh negara.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar mengumumkan seramai enam calon menghantar borang pencalonan dan tiada calon yang ditolak.

Tengku Adnan akan dicabar Datuk Dr Radzi Jidin dari Perikatan Nasional (PN); Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan) dan Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang).

Selain dua calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee.

Hari ini proses penamaan calon melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak yang melibatkan 59 kerusi, Pahang (42) dan Perlis (15).

Parlimen ke-14 dibubarkan pada 10 Okt lepas bagi memberi laluan kerusi Dewan Rakyat dipertandingkan semula dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – UMNO Online