Aktiviti & Komuniti

Hujan Renyai Tak Halang Tengku Adnan Tinjau Pasar Malam, Santuni Rakyat Pelbagai Peringkat

PUTRAJAYA – Walaupun cuaca hujan dan lembap di sekitar Putrajaya petang tadi, ia tidak menghalang hasrat ketua kampung,Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk meninjau pasar malam di Presint 2 di sini, hari ini.

Kehadiran beliau yang sememangnya mesra dengan komuniti setempat di sambut pengunjung yang ternyata teruja dengan kehadirannya.

Biarpun ini bukanlah kali pertama beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Putrajaya turun padang, namun kali ini tentunya berbeza kerana kunjungan tersebut dilakukan dalam suasana sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan diadakan pada 19 Nov nanti.

Kehadiran Tengku Adnan yang memeriahkan pasar malam turut menjadi tarikan kepada pengunjung untuk bergambar bersama-sama malah anak muda juga teruja dapat bertemu pemimpin tempatan tersebut.

Dalam kesempatan tersebut, Tengku Adnan beramah mesra dengan para peniaga termasuk bertanyakan berkaitan untung rugi yang dialami memandangkan harga barang masih belum stabil.

Tanpa menghiraukan hujan yang semakin renyai, Tengku Adnan berjalan dari satu gerai ke satu gerai bertemu dengan para peniaga selain bertanyakan khabar para pengunjung yang menyapa.

Sememangnya sikap ramah beliau menyantuni masyarakat pelbagai peringkat amat menyenangkan dan disenangi ramai. – UMNOPutrajaya