MKT UMNO Junjung Titah Agong, Sokong Kerajaan Perpaduan Dibentuk

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 23 November 2022 bersamaan 28 Rabiul Akhir 1444H yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Presiden UMNO telah membuat beberapa ketetapan seperti berikut:-

1. MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

2. MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

3. MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

4. MKT memperkukuhkan sokongan terhadap YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia.

5. Dimaklumkan juga bahawa Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 ini ialah pada 21-24 Disember 2022.

DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
SETIAUSAHA AGUNG UMNO

24 November 2022

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: