Rencana

Pemilihan UMNO: Persaingan Bermula!

KUALA LUMPUR: Persaingan merebut jawatan dalam Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 bermula selepas tempoh pendaftaran calon ditutup secara rasmi pada jam 5 petang Ahad.

Secara keseluruhan, seramai 270 calon mengesahkan untuk bertanding merebut jawatan di peringkat pusat yang akan diadakan pada Mac depan.

Persaingan merebut jawatan Naib Presiden UMNO paling dinantikan dengan melibatkan seramai lapan calon yang menawarkan diri.

Antaranya ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sementara dua penyandang kerusi tersebut iaitu bekas Menteri Pembanguan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kekal ingin pertahankan jawatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sebanyak 74 pencalonan diterima bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dengan 55 daripadanya adalah calon muka baharu.

Jelasnya, hanya 25 individu sahaja yang bakal menjawat jawatan Ahli MKT bagi pemilihan UMNO kali ini.
Bagi Exco Wanita pula, Shahrir memaklumkan, daripada 55 pencalonan, seramai 39 muka baharu manakala bagi Puteri, 44 muka baharu daripada 45 pencalonan.

Sebanyak 96 pencalonan telah diserahkan bagi kategori Pemuda dengan 92 daripadanya adalah muka baharu.

“Secara kesimpulannya semua calon bertanding adalah muka baharu. Ini satu petanda yang baik bagi UMNO,” ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 pula akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri bahagian.

Pada tarikh sama jelas beliau, turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat pusat.
Tambahnya, pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO. – Sinar Harian