Aktiviti & Komuniti

Proses Pemilihan Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Putrajaya Berjalan Lancar

PUTRAJAYA – Proses pengundian pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya semalam berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul.

Proses pengundian di kesemua sayap bahagian UMNO Putrajaya ini dipantau oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

Meskipun proses pengundian dilaksana pada sebelah petang bagi mengisi jawatan jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian terbabit, namun proses itu berjalan dengan tenang dan tertib serta mematuhi perundangan serta etika yang telah ditetapkan JPU.

Persidangan dan proses pengundian terbabit dilaksana di Auditorium Cempakasari Perbadanan Putrajaya di sini.

Terdahulu, jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda kekal pada penyandang terdahulu iaitu Puan Husna Abdul Rahaman dan Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan sementara muka baharu menjawat Ketua Puteri tanpa sebarang pertandingan iaitu Puan Salwa Shokri.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Feb ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac lepas.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UMNOPutrajaya