Berita

Ahli UMNO Perlu Hormat Segala Keputusan Parti – Ahmad Zahid

SEREMBAN, 13 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti supaya menghormati segala keputusan yang dibuat pucuk pimpinan biarpun ada perbezaan pendapat.

Beliau berkata ahli parti juga seharusnya menjaga perkara yang menjadi kerahsiaan parti terutama segala inti pati yang dibincangkan dalam mesyuarat parti.

“Setiap Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik hadir melafazkan sumpah untuk simpan rahsia…ia bukan pada parti semata-mata tapi diri sendiri…naib-naib presiden yang akan menang bersama-sama presiden dan timbalan presiden jangan ada kumpulan dalam kumpulan, jangan ada parti dalam parti.

Begitu juga rakan-rakan dalam MT, saya mengamalkan dasar untuk meraikan perbezaan pendapat dan hormati keputusan meskipun secara luaran tak bersetuju dengan saya…tapi saya utamakan parti…bukan ambil jalan untuk balas dendam,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap ketika menghadiri Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presiden dan Ahli MT sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut meminta semua ahli yang memenangi pemilihan parti untuk bekerjasama dan tidak berkonspirasi bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Jangan bersekutu dengan pihak ‘gunting dalam lipatan’, ‘api dalam sekam’ saya tahu ada perancangan di belakang yang mahu menggugat kepimpinan yang ada…pilih la untuk bersama saya dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) untuk kukuhkan parti.

‘Pertandingan ini (Pemilihan UMNO) sedarah sedaging, semua bertanding ini untuk memperkukuhkan parti, saya dan Tok Mat terima siapa sahaja yang menang, itulah pemimpin UMNO yang akan bersama-sama saya dan parti,” katanya.

Beliau berkata keputusan untuk bersama Kerajaan Perpaduan demi memastikan UMNO terus kukuh dalam politik negara selain tidak mewujudkan sikap “berpuak-puak” sehingga menjejaskan keharmonian negara.

Pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO dan Ahli MT akan berlangsung pada Sabtu ini. – BERNAMA