Berita

Apakah Rasional Kecilkan Kementerian Wilayah Persekutuan?

PUTRAJAYA – Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Senator Datuk Hisamudin Yahaya mempersoalkan langkah Kerajaan Persekutuan yang menstruktur semula Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Soalnya, apakah rasional kerajaan untuk memperkecilkan peranan Kementerian Wilayah Persekutuan yang menjaga hal-ehwal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dan kini menjadikannya sebagai sebuah jabatan?

“Ini memandangkan banyak lagi isu dan masalah yang besar dihadapi oleh rakyat belum diselesaikan?

“Saya berpandangan bahawa pengecilan peranan kementerian ini akan menyebabkan Kerajaan sukar untuk mentadbir ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Usul Menjunjung Kasih dan perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu pada 22 Dis lalu, diputuskan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diterajui oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Wilayah Persekutuan merangkumi tiga buah wilayah termasuk ibu negara Kuala Lumpur, dan Putrajaya. Sebelum ini ketiga-tiga wilayah ini dikawal selia Kementerian Wilayah Persekutuan yang turut dipertanggungjawabkan untuk menjaga tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya. – UMNOPutrajaya