Berita

Masalah Rakyat Dibawa Ke Parlimen: Banjir Kilat, Parkir, Sewa Kedai Belenggu Rakyat

PUTRAJAYA – Pelbagai masalah rakyat yang masih membelenggu komuniti Putrajaya diangkat dan dibawa ke sidang Parlimen melalui suara Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Senator Datuk Hisamudin Yahaya.

Beliau yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Dewan Negara hari ini mengajukan permasalahan berkaitan banjir kilat, sewa kedai di Putrajaya dan masalah parkir yang masih belum selesai.

“Apa yang lebih mengecewakan ialah Putrajaya yang penuh dengan bangunan-bangunan kerajaan turut dilanda banjir. Antara tarikh Putrajaya dilanda banjir adalah 13 November 2022 dan 30 November 2022.

“Dan yang paling baru sahaja berlaku, 19 Februari 2023, hujan lebat yang hanya satu jam sahaja sudah menyebabkan air bertakung sedalam 0.2 meter di kawasan lebuh raya yang berdekatan dengan Desa Pinggiran Putrajaya.”

Katanya, insiden sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana Putrajaya terkenal sebagai sebuah Bandaraya yang moden dan direkabentuk dengan pembangunan yang teratur dan rapi. 19.

“Secara asasnya, kenapa banjir kilat semakin mudah berlaku adalah disebabkan wujudnya permasalahan dalam saliran dan pembangunan serta ekoran kadar taburan hujan yang semakin bertambah tahun demi tahun.

“Oleh itu, saya ingin mencadangkan supaya kolam takungan banjir ditambah dan kolam takungan yang sedia ada didalamkan supaya aliran air dapat dilarikan dengan kadar lebih cepat bagi mengelakkan banjir kilat di Putrajaya.”

Berkaitan isu sewa kedai di Putrajaya, beliau memohon Perbadanan Putrajaya untuk menyatakan secara jelas kadar sewa yang ditetapkan di medan selera yang beroperasi di Putrajaya.

“Ini adalah berikutan wujudnya rungutan daripada peniaga mengatakan kadar sewa agak tinggi menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan mereka.

“Tidak adil sekiranya harga sewa yang lebih tinggi ini diserap oleh rakyat. Penduduk Putrajaya terpaksa mencari makanan di kawasan pinggir Putrajaya seperti Sungai Merab, Kajang, Puchong, Sri Kembangan dan Dengkil yang menawarkan harga makanan yang lebih murah.

“Kita boleh membuat perbandingan untuk membayangkan betapa tingginya harga sewa kedai di Putrajaya, iaitu pada purata RM4.00 hingga RM7.00 per kaki persegi, manakala di Shah Alam pula hanya RM1.03 hingga RM3.70 per kaki persegi dan RM1.20 sehingga RM4.50 per kaki persegi untuk jenis kedai yang lebih kurang sama di Sentul.”

Oleh itu, beliau mempersoalkan kepada pihak Perbadanan Putrajaya, adakah mereka sanggup menyemak semula kadar sewa yang sedia ada bagi memastikan keadilan kepada rakyat Putrajaya?

Seterusnya, berkaitan isu parkir, tegas Hisamudin, secara amnya, Putrajaya menjadi kawasan premis kerajaan, ia juga merupakan kawasan kuarters dan kediaman penjawat awam kerajaan.

“Menurut Kenyataan Media Jabatan Perangkaan Malaysia bertarikh 29 Julai 2022, jumlah penduduk Putrajaya adalah seramai 100 ribu orang, dengan pertumbuhan rakyat tertinggi iaitu 4.3%.

“Kebanyakan perumahan awam di Putrajaya mengandungi 400 unit dan ini menyebabkan masalah parkir yang sangat kronik, memandangkan penduduk di Putrajaya semakin bertambah tahun ke tahun.

“Saya mencadangkan agar Perbadanan Putrajaya menaiktarafkan tapak parkir yang sedia ada kepada bangunan parkir bertingkat secara berperingkat dan dari Presint ke Presint,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya