Berita

Biro Pendidikan Tekad Aktifkan Gerak Kerja Fokus Masa Hadapan Generasi Muda

PUTRAJAYA – Biro Pendidikan UMNO Putrajaya menggerakkan usaha ke arah tekad memastikan golongan pelajar terus fokus kepada agenda masa hadapan dengan keutamaan adalah ilmu pengetahuan tanpa ada keciciran di peringkat sekolah.

Pengerusinya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, pelbagai perkara telah dirancang bagi memastikan penglibatan anak-anak Putrajaya terus kepada azam cintakan ilmu pengetahuan.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat biro terbabit mengakui bahawa anak-anak Putrajaya adalah pewaris masa hadapan yang mesti diberikan perhatian sejak dari bangku sekolah lagi.

“Pemerkasaan anak-anak Putrajaya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kita maka kita sendiri perlu bersama-sama dengan mereka khususnya dalam mendepani pelbagai cabaran masa kini,” katanya.

Mesyuarat yang berlangsung lancar di Pejabat Pemuda UMNO Putrajaya, Presint 9 semalam telah dihadiri oleh anggota jawatankuasanya.

“Mesyuarat malam tadi membincangkan perihal beberapa perancangan dan gerak kerja yang akan dijalankan termasuklah penglibatan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia serta perjumpaan dengan pihak-pihak tertentu bagi memastikan golongan pelajar mendapat sokongan terbaik untuk menimba ilmu.

“Kita juga turut mengkhususkan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dan asnaf yang telahpun dikenalpasti iaitu melibatkan sekitar 1,600 orang pelajar agar mereka mendapat pembelaan dengan saluran-saluran yang ada,” katanya.

Beliau mengakui bahawa kejayaan dan kecemrlangan masa hadapan akan dapat dilihat daripada kecemerlangan para pelajar hari ini, justeru usaha bagi memastikan anak-anak Putrajaya berjaya terus diaplikasi.

Dalam mesyuarat terbabit, beliau turut menyampaikan watikah lantikan kepada anggota jawatankuasa agar sama-sama memperteguh tekad daripada Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mengaplikasi Biro Pendidikan sebagai manifestasi kejayaan masa hadapan. – UMNOPutrajaya