Aktiviti & Komuniti

Tengku Adnan Luang Masa Ke Bazar Ramadan, Dengar Keluhan Rakyat

PUTRAJAYA – Hari ini Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor telah meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan Presint 3 bagi meninjau suasana setempat.

Lebih dari itu, beliau juga menyantuni para peniaga lantaran pelbagai aduan dan keluhan dari mereka dalam menjalankan perniagaan kali ini.

Antara isu keluhan peniaga Bazar Ramadan mendakwa menanggung kerugian ratusan ringgit sehari kerana makanan tidak habis dijual biarpun orang ramai berkunjung ke bazar itu.

Terdahulu dilaporkan dalam beberapa media sosial yang mendapati antara punca pengguna dikatakan tidak banyak membeli di bazar pada musim Ramadan kali ini ialah faktor kos sara hidup iaitu pengguna terpaksa berjimat kerana perlu menanggung keperluan lebih penting.

Dalam kesempatan tersebut, Dr Tengku Adnan bertanya sendiri kepada para peniaga malah mengakui bahawa kos bahan mentah dan harga barangan keperluan yang tinggi bukan hanya menyukarkan peniaga malah pembeli juga.

Dr Tengku Adnan turut bertemu dengan rakan lamanya yang merupakan peniaga di sini iaitu Chef Ammar dengan gerai ‘The King of Lamb Shank Mendi’.

Tidak ketinggalan, Dr Tengku Adnan juga membeli beberapa juadah di bazar Ramadan terbabit untuk dijadikan hidangan sewaktu berbuka puasa.

Dalam kunjungan tersebut, beliau turut disertai Dr Tengku Muhammad Hafiz yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. – UMNOPutrajaya