Berita

Demi Rakyat, Fasiliti Tetap Diteruskan Biarpun Bukan Lagi Ahli Parlimen – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Biarpun bukan lagi bergelar wakil rakyat di Parlimen Putrajaya, Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tetap meneruskan usaha untuk memastikan masyarakat setempat mendapat fasiliti terbaik.

Hal ini dibuktikan dengan usaha berterusan yang beliau laksana dalam memastikan Klinik Rakyat Ku Nan beroperasi sebagaimana yang diwujudkan semasa beliau bergelar wakil rakyat pada penggal yang lalu.

Beliau yang hadir menyempurnakan perasmian Hari Terbuka Klinik Rakyat Ku Nan hari ini berkata, biarpun pada awalnya beliau menghentikan operasi klinik terbabit namun respon dari masyarakat setempat menuntut tindakan yang lebih positif.

“Hari ini kita ada di Klinik Rakyat Ku Nan yang dah lama saya buka sebenarnya waktu saya jadi wakil rakyat namun lepas saya kalah, saya tutup semua fasiliti yang saya beri di Putrajaya tetapi bila saya tutup saya dapat panggilan telefon, dapat whatsApp, dapat email daripada warga Putrajaya,” katanya.

Jelas beliau, ini kerana sekitar lebih kurang 14,000 penyokong-penyokongnya meminta agar apa-apa kemudahan yang telah diwujudkan tidak ditutup.

“Mereka kata janganlah tutup benda-benda yang dah ada, jadi saya dah fikir semula dan saya telah buka selama tiga empat bulan lepas termasuk Klinik Rakyat Ku Nan.

“Hari ini kita membuat pemeriksaan percuma untuk penyakit umum seperti kencing manis, darah tinggi, kolestrol dan sebagainya. Pogram ini daripada pagi hingga pukul dua belas dan kita juga menyediakan cabutan bertuah untuk warga setempat.

Katanya, klinik ini sebenarnya percuma untuk warga yang berumur 50 ke atas manakala yang di bawah daripada 50 dan pengundi beliau maka potongan 50 peratus daripada caj akan diberikan.

“Kita tak buat rawatan istimewa, rawatan istimewa kita akan suruh dia pergi ke hospital kerana kita tidak mempunyai kelengkapan khusus,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa memberi sokongan kepada beliau untuk sama-sama membantu warga tempatan yang kesusahan. – UMNOPutrajaya