Berita

PRN: Berikan Sokongan Untuk Perpaduan Demi Kesejahteraan Dan Kemakmuran – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak rakyat khususnya para pengundi pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan untuk memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta negara.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya menjelaskan bahawa kesejahteraan dan keselesaan rakyat adalah yang utama selepas melalui pelbagai krisis sebelum ini.

“Kita mahukan negara yang aman sejahtera dan rakyat dapat hidup dengan tenang tanpa pelbagai polemik politik yang hanya akan mengundang rasa gelisah. Sekarang ini kita di bawah Kerajaan Perpaduan maka kita pastikanlah sokongan terus kepada Kerajaan Perpaduan agar kesinambungan perancangan pembangunan dapat dilaksana secara terus.

“PRN ini adalah peluang terbaik kepada negeri-negeri yang sebelum ini di bawah pembangkang bagi beralih agar selari dengan kerajaan Pusat dan saluran bantuan serta kebajikan rakyat tentunya akan dapat dibuat secara terus.

“Jangan lagi kita terpedaya dengan manipulasi dan macam-macam persepsi yang selalunya ditaburkan oleh pihak lawan sedangkan realitinya banyak perkara yang tidak benar diangkat oleh mereka,” katanya.

Terdahulu beliau telah mempengerusikan mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya yang dilaksana sebagai persediaan akhir bagi anggota parti untuk turun membantu selaku jentera dalam PRN.

“Jentera UMNO Bahagian Putrajaya akan dipecahkan kepada dua kawasan di Selangor iaitu di kawasan Ampang dan Semenyih.”

Katanya, usaha dibuat bagi memastikan ahli-ahli UMNO Putrajaya membantu dan menyampaikan info bernas bagi meraih pengundi untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan.
“Untuk penamaan calon, anggota jentera terbabit akan mengiringi calon-calon yang bertanding sebagai tanda sokongan dan memastikan undi masyarakat setempat akan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari mengundi bagi PRN Selangor, Negeri sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan.Hari penamaan calon adalah pada 29 Julai dan hari mengundi awal pada 8 Ogos ini. – UMNO Online