Berita

Hargai Semangat Veteran UMNO Putrajaya, Terbukti Realisasikan Susah Senang Bersama

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghargai semangat perjuangan dan kesetiaan yang ada pada Veteran UMNO Putrajaya dengan tetap bersama walaupun berlaku peralihan kepimpinan di peringkat Parlimen selain beberapa isu politik semasa.

Hal tersebut dizahirkan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim yang mewakili Tengku Adnan ketika merasmikan mesyuarat anggota Veteran UMNO Putrajaya yang berlangsung hari ini, di Kelab Tasik, di sini.

Katanya, sokongan dan dukungan yang berterusan dalam perjuangan menjadi bukti bahawa tahap kesetiaan anggota parti terhadap perjuangan yang teraskan agama, bangsa dan negara tidak ada tolok bandingnya.

“Sokongan ini menjadi penguat semangat kepada kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya untuk meneruskan gerak kerja dan memastikan UMNO kembali teguh dan utuh,” katanya.

Jelasnya, sokongan daripada anggota UMNO Veteran Putrajaya menjadi tauladan juga kepada golongan muda untuk kekal dalam arus perjuangan semasa UMNO yang tidak pernah luntur.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yayaha dan juga Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob.

Dalam ucapannya, Mustapha turut berterima kasih kepada semua anggota terlibat yang sentiasa bersama-sama dalam parti biarpun pelbagai cabaran telah dilalui. – UMNOPutrajaya