Berita

Kenyataan Media Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445H telah mengadakan perbincangan dan membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

1. Menyatakan penghargaan kepada seluruh jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Simpang Jeram yang diketuai oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dan YAB Datuk Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor yang bekerja keras bagi memastikan kemenangan rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia iaitu daripada Pakatan Harapan.

2. Mengambil langkah-langkah penambahbaikan dan pemerkasaan parti berpandukan dapatan bedah siasat (post-mortem) keputusan 6 Pilihan Raya Negeri-negeri yang telah pun diperincikan dan diperolehi daripada Bahagian-bahagian UMNO seluruh Malaysia termasuk sayap-sayap parti Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO.

3. Mengadakan Konvensyen UMNO Bahagian-bahagian yang akan memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti dan membumikan kefahaman ahli-ahli parti di peringkat akar umbi mengenai ketetapan-ketetapan dasar parti yang menyentuh soal prinsip dan halatuju perjuangan parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.

4. Memperkukuhkan dan memperkasakan lagi hubungan kerjasama UMNO dengan rakan-rakan parti komponen dalam Pakatan Harapan di semua peringkat termasuk Negeri-negeri dan Bahagian-bahagian seluruh Malaysia bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagaimana ketetapan Majlis Kerja Tertinggi pada 23 November 2022 dan diabsahkan di Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 10 Jun 2023 lalu.

5. Menyambut baik cadangan YAB Perdana Menteri untuk mewujudkan kembali Konvensyen Ekonomi Bumiputera dan UMNO menawarkan untuk mengurus-selia penganjurannya sebagaimana yang pernah UMNO laksanakan pada tahun 1965 sehingga tertubuhnya MARA setahun kemudian.

6. Meminta seluruh pimpinan UMNO yang menganggotai Pentadbiran Negara terutamanya Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri termasuk juga Pengerusi-Pengerusi Agensi dan Syarikat-syarikat Milik Kerajaan supaya memperteguhkan usaha dengan memfokuskan agenda mensejahterakan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

DR ASYRAF WAJDI BIN DUSUKI
13 September 2023