Selamat Hari Malaysia, Fahami Sejarah Pembina Negara Bangsa – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 16 Sept – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan Selamat Hari Malaysia dan memaklumkan bahawa 60 tahun lalu, tarikh inilah yang telah menyatukan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dalam satu kesatuan demi pembinaan sebuah negara bangsa yang gemilang.
Lantas katanya, fahamilah laluan perjalanan sepanjang 60 tahun ini bukan sesuatu yang mudah.
“Bagaimana Malaysia yang dahulunya banyak ketinggalan namun kini terhampar kemajuan dengan pembangunan pelbagai perkara merangkumi keadaan sosial masyarakat khususnya pendidikan yang menjadi kunci utama dalam perubahan rakyat, keluar dari kemiskinan melalui kadar celik huruf iaitu pendidikan lantas mengubah landskap negara sebagaimana hari ini.
“Sungguh, ini semuanya bukan secara tiba-tiba tapi terhasil daripada perancangan dan pembinaan dasar yang berkesan iaitu hasil daripada kepimpinan kerajaan terdahulu yang sentiasa memandang masa hadapan dan keutamaan generasi baharu.
“Kerajaan lalu melaksana perancangan membina generasi berintelektual, bijaksana dan pandai sedari awal iaitu menerusi dukungan dari alam kanak-kanak, persekolahan dan pendidikan hinggalah ke peringkat tertinggi. Lantaran dahulunya pendidikan dalam negara belum maju, maka dihantar anak-anak bangsa belajar ke luar negara dengan tanggungan perbelanjaan dan biasiswa daripada kerajaan atas nama dari pelbagai agensi yang kesemuanya adalah untuk bangsa yang maju,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, kerajaan melaksana pembangunan daripada Rural & Industrial Development Authority (RIDA) yang kemudiannya disusun semula menjadi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan fokus terhadap pembangunan bangsa, dari pendidikan, ekonomi dan kemajuan agar taraf hidup berubah ke arah yang lebih baik.
“Untuk tanah rancangan pula, ada FELDA, ada FELCRA malah di setiap negeri pun ada pembangunan yang dirancang berterusan agar kehidupan bangsa Malaysia meningkat ke arah yang lebih baik selari peredaran masa. Benar tidak ada yang sempurna tapi pelbagai dasar yang ada menjadikan anak bangsa mewarisi kehidupan yang lebih baik dari generasi sebelumnya.
“Malaysia hari ini adalah muafakat dan sejahtera dengan perpaduan yang telah diserap dan disemai kerajaan terdahulu, lebih 60 tahun lalu berterusan memupuk kesatuan dalam kepelbagaian iaitu saling menghormati kerencaman budaya dan kaum yang pelbagai. Mengakui Islam agama Persekutuan namun menghormati kesaksamaan bangsa-bangsa lain yang membentuk kesejahteraan negara.”
Tegasnya, persoalan siapa yang merancang, siapa yang membangun, siapa yang membawa kepada kemajuan hasil daripada dasar yang ada perlu dihargai malah memahami bahawa setiap yang ada hari ini adalah hasil daripada keutamaan kepimpinan kerajaan terdahulu yang mahukan anak bangsa berjaya.
“Lantas yang berjaya hari ini usahlah jadi seakan kacang lupakan kulit apatah lagi cuba menggigit tangan yang pernah menyuap makanan demi kelangsungan kehidupan.
“Benar generasi muda hari ini ramai yang telah berpendidikan, menjadi bijak pandai dan memiliki ilmu yang ditimba dari serata negara di peringkat antarabangsa namun, teruslah bersama menerapkan tekad dalam adab dan akhlak dengan memelihara kesejahteraan Malaysia yang telah ditunjangkan lebih 60 tahun lalu.
“Realiti generasi kedua dan seterusnya pastinya mahukan yang lebih baik, justeru aplikasilah laluan yang telah dirintis oleh pejuang terdahulu dalam aspirasi Malaysia tercinta, kembalikan semangat ‘kesatuan dalam kepelbagaian’ untuk tanah air kembali gemilang,” katanya lagi. – UMNO Online