Aktiviti & Komuniti

Sumbangan Jersi Tanda Sokongan Berterusan Untuk Anak Muda Putrajaya Bersukan

PUTRAJAYA – Sokongan berterusan kepada anak-anak muda Putrajaya sentiasa diberikan termasuklah dalam pembangunan dan penglibatan mereka dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya telah menghadiri majlis penyampaian set pakaian sukan ragbi untuk kegunaan pasukan ragbi Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1).

Beliau memaklumkan kagum dengan bakat dan kecemerlangan pasukan ragbi sekolah ini kerana selain mewakili Putrajaya ke peringkat negeri dan kebangsaan mereka juga bertanding di peringkat antarabangsa.

Sekolah ini menyertai beberapa kategori pertandingan iaitu bawah 14 tahun, bawah 16 tahun dan bawah 18 tahun.
“Saya berharap sumbangan ini mampu meningkatkan semangat pasukan Panther 11 untuk terus mencipta kejayaan dari tahun ke tahun demi mengharumkan nama sekolah dan Putrajaya.

“Set pakaian ragbi ini saya serahkan kepada Pengetua Cemerlang, Tuan Ruslan Abd. Rahman yang turut disaksikan para guru serta jurulatih Panther 11. Syabas saya ucapkan,” katanya.

Terdahulu, beliau telah menyumbangkan jersi kepada pasukan bola jaring UMNO Cawangan Bunga Kaktus sempena Kejohanan Bola Jaring Piala Presiden Perbadanan Putrajaya 2023.

Kejohanan tersebut telah diadakan sempena Karnival Komuniti dan Pesta Air 2023 anjuran Perbadanan Putrajaya yang bermula 23 hingga 24 September lalu.

“Semoga semangat kesukanan dalam diri setiap pemain cawangan Bunga Kaktus ini akan membuahkan hasil dan mereka memperoleh kemenangan.” – UMNOPutrajaya