Berita

Salam Maulidur Rasul, Jadikan Rasulullah Contoh Terbaik – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat setempat untuk menjadikan Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda sebagai contoh terbaik dalam menghadapi sesuatu ujian sama ada dalam keadaan senang ataupun susah.

Jelas beliau, dalam keadaan hari ini yang pelbagai kesulitan dirasai oleh rakyat maka sewajarnya sama-sama bermuhasabah dengan berlapang dada menghadapi sebarang kesulitan dan yang berlaku.

“Kita juga sepatutnya mengambil iktibar dari kecekalan dan keteguhan hati Rasulullah SAW dalam mengharungi dugaan dan ujian yang dihadapi, maka anggaplah apa yang menimpa dan berlaku kepada kita hari ini sebagai ujian daripada Allah SWT dan menjadi kewajipan kepada kita supaya terus berusaha serta meningkatkan azam di samping bersyukur atas nikmat rezeki dikurnia-Nya.

“Marilah kita jadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha dengan lebih kuat bagi mencapai kejayaan hidup berpandukan kepada ajaran Rasulullah SAW,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau mengajak semua untuk memperbanyak alunan bacaan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

“Sesungguhnya mencintai dan mengasihi serta menghayati sirah Rasulullah SAW adalah satu kewajipan ke arah mendidik jiwa dan pembinaan sahsiah diri kita sebagai umat Islam. Semoga kita sama-sama mendapat syafaat Baginda dan terus dalam rahmat Allah SWT,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya