Berita

Kekalkan BN Di DUN Pelangai, Tiada Sebab Untuk Pilih PN – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Esok adalah hari pengundian bagi PRK DUN Pelangai dengan kuasa rakyat akan menentukan pemimpin atau wakil rakyat yang bakal membantu mereka.

Sehubungan itu, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merayu para pengundi untuk mengekalkan Barisan Nasional (BN) dengan memilih calonnya,
Datuk Amizar Abu Adam sebagai wakil rakyat.

Katanya, ini adalah agar pelbagai perancangan pembangunan yang sebelum ini telah dibuat oleh penyandang terdahulu, Allahyarham Datuk Johari Harun dapat diteruskan.

“Tiada sebab untuk memilih parti lain sama ada Perikatan Nasional (PN) atau calon Bebas di Pelangai. Apatah lagi Kerajaan Negeri diterajui oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi UMNO Negeri Pahang. Maka tentulah urusan pentadbiran yang selari dengan negeri akan mudah dilaksana apabila semuanya sekata.

“Begitu juga dengan Kerajaan Persekutuan yang selari dengan Kerajaan Negeri Pahang, maka DUN Pelangai juga perlulah sealiran agar pelbagai urusan demi kesejahteraan rakyat kelak dapat dilaksanakan secara terus.

“Sokongan kepada BN ini juga amat penting sebagai tanda bahawa politik kebencian dan manipulasi serta hasutan ditolak sebaliknya rakyat mahukan politik pembangunan dengan realiti nyata iaitu yang telah terbukti,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Jelas Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, sepanjang kempen, pihak lawan tidak dapat memberikan sesuatu fakta yang kukuh untuk masa depan pentadbiran mereka selain daripada mengutarakan hal-hal sama sebagaimana pilihan raya-pilihan raya yang lain.

“Isu mereka hanya berkisar soal tukar kerajaan dan siapa yang lebih Islam selain tohmahan kepada UMNO yang kononnya lari daripada perjuangan asal walhal sewajarnya mereka lakukan perbandingan dengan soal keupayaan dalam pengurusan dan pencapaian kemajuan.

“Inilah sebenarnya yang perlu dilaksana dalam pentadbiran kerana UMNO sendiri tidak pernah mengenepikal hal-hal berkaitan agama, bangsa dan negara biarpun terus berusaha ke arah kemajuan.

“Sehubungan itu, saya merayu pengundi-pengundi Pelangai agar pilihlah BN, parti yang telah terbukti laksana kemajuan dan pembangunan malah banyak lagi perancangan masa hadapannya, tolak mainan emosi yang penuh retorik sebagaimana PN yang sentiasa banyak alasan,” katanya lagi.

DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu, SPR telah menetapkan 14 hari berkempen bermula dari 23 Sept lalu sebagai hari penamaan calon dan esok adalah pengundian membabitkan seramai 16,456 pemilih berdaftar.

Allahyarham menang dengan majoriti 4,048 menewaskan Kasim (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi. – UMNO Online