Berita

Rakyat Palestin Perlukan Sokongan, Tengku Adnan Ajak Tolak Penindasan

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa rakyat Palestin perlukan sokongan negara-negara Islam bagi menekan kuasa besar yang menjadikan Regim Zionis sebagai sekutu mereka.

Justeru katanya, selaku saudara seagama maka masyarakat setempat perlu bersatu untuk menyokong usaha berterusan rakyat Palestin yang ditindas.

“Palestin khususnya Semenanjung Gaza bermandi darah dengan saudara se-Islam kita di sana berdepan serangan dari puak Rejim Zionis. Namun semangat luar biasa dari kumpulan Mujahiddin Briged Al Qassam yang melaksanakan serangan balas sesungguhnya adalah kebangkitan dan semangat sangat hebat yang sewajarnya menjadi tauladan.

“Akibat penindasan dan tekanan yang berpanjangan, kedaulatan tanah air dan ancaman nyawa buat bangsa sendiri yang berterusan maka kebangkitan Mujahiddin Briged Al Qassam ini adalah satu semangat perjuangan yang tidak pernah padam malah usaha mendapatkan kembali hak yang dicabul.

“Justeru, marilah kita sama-sama menjadikan semangat perjuangan ini sebagai tauladan iaitu kebangkitan dari kejatuhan dan keruntuhan apatah lagi sekiranya berlaku perpecahan dalam kalangan kita khususnya Melayu dan Islam,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Dalam hal ini beliau turut menyorot berkaitan pelbagai situasi khususnya politik semasa dalam negara.

“Kita sendiri telah berdepan dengan krisis politik dan polemik yang menjadikan negara kita mundur sejak kekalahan BN pada pilihan raya 2018. Pelbagai kesulitan dirasai rakyat, masyarakat berdepan keresahan lantaran situasi yang tidak menyenangkan, kerajaan bertukar-tukar sehinggakan dalam satu penggal ada empat perdana menteri. Pelabur lari akibat tidak ada jaminan atas keamanan dan macam-macam lagi.

“Kini kita cuba membina semula kekuatan dan bangkit kembali dengan semangat perjuangan demi agama, bangsa dan negara. Bukan atas nama parti politik apa namun sesungguhnya adalah atas usaha kepada kesepaduan dan kesungguhan dalam memakmurkan negara demi masa hadapan yang lebih baik.”

Katanya yang juga Ketua UNO Bahagian Putrajaya, perpecahan hanya akan mengundang pertelagahan dan kita akan semakin lemah.

“Maka ayuhlah kita bersama, berpadu dan bersatu demi agama, bangsa dan negara juga untuk sokongan terhadap kesejahteraan global yang lebih baik termasuk di Palestin.

“Semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan bukan sahaja kepada kita tetapi kepada seluruh umat Islam serta para saudara kita di Palestin,” katanya lagi. – UMNO Online