Aktiviti & Komuniti

Demi Kejayaan Anak Putrajaya, Program Skor A SPM Dilaksana

PUTRAJAYA – Demi kesungguhan bagi melihat anak-anak Putrajaya mengecap kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang akademik, UMNO Bahagian Putrajaya meneruskan usaha melaksanakan Program Skor A SPM khusus kepada mereka yang bakal mendepani peperiksaan terbabit.

Program ini diaplikasi melalui Biro Pendidikan UMNO Bahagian Putrajaya yang dipengerusikan oleh Datuk Hisamudin Yahaya pada Ahad, baru-baru ini.

“Anak-anak adalah permata negara, mengakhiri zaman sekolah menengah dengan berbekalkan sekeping Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat penting bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian di peringkat seterusnya, justeru mereka perlu lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Demi memastikan anak-anak dalam Parlimen Putrajaya memperoleh keputusan membanggakan, Biro Pendidikan UMNO Bahagian Putrajaya dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Putrajaya mengorak langkah menganjurkan Program Skor A Teknik Menjawab SPM 2023 Kertas 2 Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim yang turut hadir pada program tersebut.

“Terima kasih juga kepada Perbadanan Putrajaya yang telah sudi menaja Pangung Mawar Sari bagi kegunaan kami melaksanakan program ini.”

Katanya, seramai 110 orang pelajar cemerlang dari 11 buah sekolah menengah di Putrajaya yang terpilih didedahkan dengan teknik-teknik yang betul dan tepat oleh penceramah hebat agar mereka dapat menjawab soalan dengan tepat dan memperoleh keputusan cemerlang.

“Bertemakan Menggapai Bintang saya dengan rendah hati memohon agar sahabat-sahabat semua mendoakan kejayaan semua calon SPM agar dapat menjawab soalan dengan betul dan seterusnya memperoleh keputusan membanggakan,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya