Berita

Tingkat Kesefahaman, Kerjasama Kerajaan Perpaduan… Konvensyen Peringkat Negeri Diadakan Bermula Januari

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Untuk mempertingkatkan kesefahaman dan kerjasama antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia, Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri akan diadakan bermula Januari 2024.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menegaskan pendirian parti untuk terus memperkukuh Kerajaan Perpaduan melalui perjanjian yang telah dimeterai.

“Sempena setahun usia Kerajaan Perpaduan Malaysia, MKT menegaskan pendirian parti untuk terus memperkukuh dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan sebagaimana titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Memperteguhkan asas-asas kerjasama yang dipersetujui bersama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia melalui perjanjian dimetereai terutamanya berkenaan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Bagi mempertingkatkan lagi kesefahaman dan kerjasama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia, mesyuarat juga bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri-negeri bermula Januari 2024,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mesyuarat MKT, malam ini.

Mengulas lanjut, mesyuarat turut memperakukan kesemua ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan.

“Mesyuarat juga memperakukan bahawa semua ahli parlimen dan ADUN UMNO akan terus mendukung pendirian parti untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagaimana yang diputuskan oleh MKT UMNO pada 24 November 2022 serta diluluskan sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari 2023.

“Bagi memastikan agenda Melayu terus diperkasakan, UMNO pada 6 Januari 2024 akan mengadakan Kolokium Khas bersempena Kongres Ekonomi Bumiputra yang bakal membentangkan hala tuju dan tawaran ekonomi baharu untuk umat Melayu di negara ini,” katanya lagi. – UMNO Online