Berita

Kongres Ekonomi Bumiputera Acara Penting, Jana Kemakmuran Semua Kaum – Tengku Hafiz

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal dianjurkan pada tahun hadapan merupakan acara penting kerana bukan sahaja orang Melayu bahkan kaum lain bakal menikmati manfaatnya.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata, banyak hasil kejayaan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera sebelum ini termasuklah pemerkasaan ekonomi orang Melayu.

“Sangat banyak hasil kejayaan kongres bumiputera sebelum ini seperti kewujudan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Felda termasuk agensi pemerkasaan ekonomi Melayu seperti TERAJU, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan lain-lain.

“Walaupun begitu, kaum-kaum lain tetap mendapat nikmat hasil daripada polisi-polisi bumiputera tersebut.

“Sepatutnya dalam sebuah negara yang telah mengecapi kemerdekaan sekian lama, perkara sensitif seperti ini tidak perlu dibahaskan sekiranya semua ahli politik faham akan hak-hak seperti termaktub dalam perlembagaan… sebagaimana kaum majoriti yang faham akan pembentukan negara Malaysia ini yang berbilang kaum, agama dan bangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya itu turut berkata, kaum bumiputera juga tidak pernah menghalang mana-mana penganjuran kongres kaum-kaum lain sebelum ini.

“Kaum bumiputera juga tidak pernah menghalang atau mengarahkan kerajaan untuk menghentikan mana-mana penganjuran kongres kaum-kaum lain dalam meningkatkan daya saing ekonomi dan pembangunan kaum-kaum tertentu.

“Selagi UMNO ada, maka sudah tentu UMNO akan terus memperjuangkan hak-hak dan kepentingan orang Melayu tanpa mengenepikan kaum-kaum lain seperti sejak sekian lama Barisan Nasional (BN) memerintah negara

“Kongres Ekonomi Melayu yang akan dianjurkan tahun hadapan merupakan acara penting buat negara kita. Iklim ekonomi dan cabaran dunia sekarang berubah dengan pantas, bukan sahaja orang Melayu bahkan kaum lain juga pastinya akan mendapat manfaat daripada kejayaan kongres ini nanti,” katanya lagi.

Pada 14 Jun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Kongres Ekonomi Melayu akan dianjurkan seiring dengan tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Kongres tersebut akan diadakan pada Januari 2024, bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, di samping memperkasa golongan tersebut. – UMNO Online