Berita

Pilihan Raya PBT Bukan Keperluan Mendesak, Utamakan Isu Kepentingan Rakyat

PUTRAJAYA, 21 Dis – Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukanlah satu keperluan mendesak dan seharusnya tumpuan utama diberikan kepada isu penting berkaitan dengan rakyat.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata, ini termasuklah dengan melakukan pembaharuan kepada sektor pendidikan yang dilihat akan memberi impak kepada generasi akan datang.

“Berdasarkan keadaan semasa, penolakan pilihan raya PBT adalah berdasarkan kepercayaan bahawa tumpuan segera harus diberikan keutamaan kepada isu-isu penting dan agenda reformasi lebih khusus seperti penambahbaikan infra rakyat, perumahan kos rendah atau yang memberi impak lebih baik kepada generasi akan datang iaitu pelaksanaan sistem sekolah satu aliran.

“Kepentingan untuk melakukan pembaharuan pendidikan ini disifatkan lebih mendesak daripada mengalihkan sumber dan perhatian ke arah pilihan raya yang tidak perlu. Walaupun pilihan raya PBT ini tidak salah untuk diadakan, namun jelas buat masa ini ia bukan satu keperluan mendesak. Demokrasi tidak mati sekalipun jika ia tidak dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, sebarang kenyataan yang berpotensi untuk menimbulkan konflik seharusnya dielakkan.

“Adalah penting, terutamanya pada peringkat ini, untuk mengelak daripada membuat kenyataan yang berpotensi menimbulkan perbalahan dan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia. Komunikasi yang bertanggungjawab dan bertimbang rasa adalah penting untuk kesejahteraan masyarakat pelbagai.

“Dalam semangat Madani ini, kita seharusnya mencari jalan dan kaedah untuk menyatukan rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, adalah lebih baik daripada membelanjakan wang untuk pilihan raya yang tidak perlu kepada cadangan agar sekolah satu aliran dilaksanakan segera. Ia lebih memberi kesan positif kepada negara.

“Malangnya, masih ada individu yang tidak belajar sepenuhnya daripada pengalaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0. Ahli politik dalam negara perlu lebih banyak berwacana dan menyebarkan persekitaran politik yang lebih membina dan harmoni untuk kepentingan negara,” katanya lagi.

Respon diberikan beliau itu ekoran cadangan oleh Pengerusi Dap Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai merangkap Ahli Parlimen Cheras yang mengesyorkan diadakan pilihan raya PBT.

Kemudian ia mendapat perhatian semula apabila Dap Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengembalikannya semula di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa semalam berkata fungsi PBT dan peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam mendepani isu bangunan strata di Wilayah Persekutuan perlu diberi keutamaan ketika ini berbanding cadangan untuk melaksana pilihan raya PBT.

Menurut Zaliha, perkara dasar seperti pelaksanaan pilihan raya PBT ini juga perlu kepada perbincangan lebih mendalam, membabitkan pelbagai pihak berkepentingan. – UMNO Online