Berita

Kenyataan Media Majlis Kerja Tertinggi UMNO – 26 Jan 2024

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada 26 Januari 2024 bersamaan 14 Rejab 1445H telah mengadakan perbincangan dan membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

1. Mesyuarat merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dan Kerajaan Malaysia yang secara konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin hingga membawa kepada keputusan positif Mahkamah Keadilan Antarabangsa berpandukan kes yang dibawa oleh Afrika Selatan yang memerintahkan Israel untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan.

2. Tarikh-tarikh untuk mengadakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2024 adalah seperti berikut :

i) Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan
22hb April hingga 2 Jun 2024

ii) Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian
21hb Jun hingga 29 Julai 2024

iii) Perhimpunan Agung UMNO
21hb hingga 24hb Ogos 2024

3. UMNO Malaysia melalui Majlis Ekonomi dan Kewangan UMNO yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada 3hb Februari 2024 bertempat di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur. Resolusi Kolokium ini akan dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan pada 29hb Februari, 1hb dan 2hb Mac 2024 kelak.

4. Mesyuarat juga membincangkan mengenai Memorandum Tuntutan Rakan-Rakan Penghantar Syarikat Penyedia Perkhidmatan Penghantaran Barangan dan Makanan (P-Hailing) Grabfood yang diserahkan. Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk meminta Kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia sekaligus memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi Gig di Malaysia terpelihara.

DR. ASYRAF WAJDI BIN DUSUKI
26 JANUARI 2024