Berita

Semai Semangat Perjuangan, Angkat Nilai Sejarah Kembali Perkukuh UMNO – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Anak muda perlu memainkan peranan dengan menghayati penubuhan UMNO agar parti ini kembali kukuh dan perjuangannya dapat terus disemarakkan, kata Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor

Ujarnya, kelangsungan perjuangan UMNO tetap relevan malah sehingga kini masih utuh dengan asas perjuangannya sebagai parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

“Kita perlu angkat nilai sejarah, hayati apa yang telah berlaku dan selami perjuangan UMNO. Ini kerana UMNO bukan sekadar parti politik semata-mata kerana asas dan tujuan penubuhannya adalah merangkumi agama Islam, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, beliau telah menerima kunjungan daripada Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan serta barisan Exconya di sini, semalam.

Dalam pertemuan tersebut beliau menyampaikan pesanan agar golongan anak muda dalam barisan kepimpinan UMNO hari ini terus memperkukuh tekad dan semangat atas nama perjuangan parti.

“Fahamilah bersama bahawa UMNO adalah parti politik yang berjuang demi agama, bangsa dan negara, bukan untuk kepentingan peribadi atau menjadi batu loncatan.Mereka perlu tahu sejarah ini kerana anak-anak inilah yang akan membawa perjuangan kita dan menjadi pemimpin masa depan.”

Kerana itulah katanya, sokongan dan dukungan daripada ahli-ahli khususnya anak muda amat penting dalam menjayakan misi untuk bangkit kembali.

“Marilah kita renung kembali, sebelum ini kita telah bersama-sama mengharungi pelbagai dugaan, ketika UMNO menjadi kerajaan dan kemudian hilang kuasa yang semuanya sebenarnya menguji kekuatan dan kerukunan kita dalam satu organisasi.

“Secara tidak langsung kita hari ini telah semakin matang apatah lagi telah pernah menjadi kerajaan, menjadi pembangkang, semi kerajaan dan hari ini mendukung Kerajaan Perpaduan, maka anak muda jadikanlah sejarah UMNO ini sebagai semangat untuk masa depan yang lebih baik,” katanya lagi. – UMNO Online