Isu Semasa

JANGAN PERTIKAI KUASA MUTLAK PENGAMPUNAN YDP AGONG!

Petang ini diadakan Majlis Perjumpaan Khas Presiden dengan kepimpinan utama 191 UMNO Bahagian-Bahagian dan Exco-exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO.

Perjumpaan tadi sebulat suara bersetuju dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi UMNO kelmarin untuk meneruskan usaha untuk mendapatkan pembelaan ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Adalah tidak wajar bagi sesiapapun mempertikaikan kuasa mutlak YDP Agong yang jelas diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 42: Kuasa pengampunan, dsb

(1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.”

Justeru suara-suara sumbang yang mempertikaikan kuasa ini hakikatnya secara jelas tidak menghormati institusi Raja khususnya kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan kepada YDP Agong dalam memberikan pengampunan kepada sesiapa sahaja atas budi bicara baginda dan bahkan boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

UMNO melalui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan meneruskan laporan polis terhadap Tony Pua yang secara biadap memperkecil, meremeh dan mempermainkan kuasa pengampunan YDP Agong bahkan secara jelas membelakangi Perlembagaan Persekutuan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung UMNO