Berita

Keputusan Tepat Tangguh Perlaksanaan Beras Madani, Tolak Cadangan Beri Kesan Buruk Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai cadangan Beras Putih Malaysia Madani secara lebih terperinci dengan segera.

Katanya yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO, pujian harus diberikan kepada Dr Akmal Saleh iaitu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang berterusan menyampaikan pemahaman kepada rakyat dan berani menegur cadangan-cadangan yang boleh memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara terutama dalam isu beras madani.

“Umum mengetahui tentang cadangan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini yang mahu memperkenalkan beras satu gred dengan satu harga namun cadangan tersebut jelas sekali tidak masuk akal dan tidak dibenarkan oleh undang-undang.

“YAB Perdana Menteri dan kerajaan perlu berhenti daripada melantik individu-individu yang tidak kompeten untuk memegang apa-apa jawatan penting atau mengetuai mana-mana jawatankuasa terutama yang melibatkan perkara-perkara yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Ini kerana cadangan yang tidak mengambil kira pandangan pihak berkepentingan serta pemain industri terlibat menyebabkan kegusaran rakyat terhadap kemampuan kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri mengatasi isu ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegas beliau, cadangan mewujudkan sebarang jenama beras baharu ini bukan kaedah terbaik untuk meningkatkan kadar SSL beras negara, walhal kadar SSL beras negara kini berada pada tahap yang masih membimbangkan.

“Oleh itu rakyat melihat bahawa ini hanyalah satu ‘marketing’ politik yang diadakan hanya semata-mata untuk membodek Perdana Menteri, yang mana akhirnya tidak menyelesaikan langsung masalah yang sebenar.

“Perkara yang ditegaskan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh supaya lebih ramai pihak terlibat sebelum keputusan dibuat perlu dipandang serius. Perkara melibatkan beras iaitu makanan ruji rakyat Malaysia tidak boleh diputuskan oleh beberapa orang yang diatas sahaja.

“Kartel-kartel ini sudah tentu mahu melindungi perniagaan mereka dan mahu mengaut keuntungan berlebihan disaat keadaan global yang memberi kesan kepada negara kita.”

Tegasnya lagi, langkah drastik yang kerajaan perlu lakukan sekarang adalah memberi penekanan kepada penguatkuasaan.
“Satu kaedah ‘blue ocean strategy’ perlu dilaksanakan yang mana ia perlu merentasi pelbagai agensi bukan sahaja KPDN semata-mata. Peruntukan undang-undang yang lebih ketat perlu segara diperhalusi agar ianya memenuhi keadaan semasa.”

Dilaporkan, semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahaw Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai cadangan Beras Putih Malaysia Madani secara lebih terperinci dengan segera. – UMNO Online