Berita

Agong Titah Tidak Akan Layan Permintaan Ganggu Gugat Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa baginda tidak akan melayan hasrat daripada mana-mana pihak yang mahu menganggu pentadbiran kerajaan.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa semua pihak harus menunggu Pilihan Raya Umum yang akan datang untuk berpolitik.

“Saya tegaskan di sini yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa Parlimen ini adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Ahli Parlimen sebagai para penggubalnya.

“Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.

“Saya harap semua Ahli-ahli Dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan yang mulia ini dengan mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut sama memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

“Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat untuk penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat (YB) semua adalah penggubalnya.

“Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justeru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan ini.

“Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain,” titah baginda.

Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen pertama oleh Sultan Ibrahim, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Sidang Dewan Negara pula dijadual berlangsung 18 Mac hingga 4 April ini – UMNO Online