Berita

Kerajaan Perlu Ambil Tindakan Terhadap Pihak Hina Institusi Raja, Jaga Keharmonian Negara

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan kepada pihak yang menghina institusi Raja-raja Melayu dengan mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja.

Ujarnya yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, pihak yang dengan sengaja menimbulkan kekacauan dan keharmonian tidak boleh diberi muka lagi kerana rakyat akan melihat seakan ada ‘double standard’ terhadap pelaksanaan undang-undang jika perkara seperti ini berterusan.

“Ahli politik dalam negara seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat supaya mempunyai adab dan menjaga keharmonian. Namun, tindakan dua orang ahli politik daripada Parti Pas, YB Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Parti PKR, YB Hassan Karim mencerminkan sikap mereka seperti peribahasa ‘bagai kaduk naik junjung’.

“Sebagai ahli politik senior kenyataan mereka terhadap Institusi Raja-raja Melayu boleh disifatkan sebagai keterlaluan dan biadap,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam hal ini, Tengku Muhammed Hafiz berkata ahli politik lain seharusnya menjadikan isu ini sebagai satu pengajaran dan mengambil iktibar untuk sentiasa menjaga tatasusila dan adab ketika mahu menyampaikan pandangan kepada Institusi Raja-raja Melayu.

“Membuat kenyataan terbuka dengan tidak memahami keseluruhan konteks titah YDPA serta Raja-raja Melayu menunjukkan tahap pemikiran yang hanya mencari laba politik daripada bersungguh-sungguh memahami apa yang ingin disampaikan Tuanku YDPA dan DYMM Sultan Selangor.

“Raja-raja Melayu ketika bertitah sentiasa menjunjung tinggi budaya Melayu yang mana teguran Baginda penuh dengan hikmah dan kiasan.

“Sebagai pemimpin dalam negara, seharusnya tidak mengambil ringan akan titah Raja-raja Melayu ini kerana baginda merupakan pelindung kepada rakyat dan sudah tentu mahukan negara ini terus harmoni.”

Ujarnya, mengambil kira titah YDPA ketika sesi pembukaan penggal Parlimen yang lepas, rakyat biasa nampaknya lebih cerdik memahami apa yang disampaikan supaya tindakan mengganggu sebuah kerajaan yang telah dibentuk dengan sah tidak akan dilayan sama sekali oleh baginda.

“Baginda sudah tentu tidak mahu kejadian ‘langkah Sheraton’ seperti sebelum ini terjadi lagi yang hingga mengakibatkan rakyat di bawah terkesan teruk.

“Begitu juga dengan titah DYMM Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang jelas sekali mengambil jalan bijaksana dah hemah dalam meleraikan isu yang berbangkit.

“Baginda dengan jelas mengarahkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk mengemukakan sebarang cadangan sebelum diangkat ke perhatian Majlis Raja-Raja termasuk jika ada keperluan untuk mencadangkan pindaan peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi. – UMNO Online