Berita

Menjelang Ramadan: Demi Khidmat Kepada Rakyat, UMNO Tak Banyak Alasan – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 11 Mac – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa UMNO tidak pernah banyak alasan dalam meneruskan khidmat kepada rakyat.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, sekalipun tidak lagi bergelar ahli Parlimen kawasan terbabit namun kebersamaan menyantuni masyarakat setempat tidak pernah dinafikan.

“Sekalipun bukan lagi wakil rakyat di sini, namun UMNO Bahagian Putrajaya masih meneruskan tradisi bersama masyarakat termasuklah program mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai persediaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Program Sumbangan Ihya Ramadan yang berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, di sini pada Sabtu.

Katanya, UMNO Bahagian Putrajaya sememangnya terbukti tak banyak alasan dalam melaksanakan apa-apa gerak kerja dan menjayakan program termasuklah mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan yang dilaksana demi keselesaan komuniti setempat.

“Dalam Program Ihya Ramadan ini, sememangnya saban tahun dilaksana oleh UMNO Bahagian Putrajaya iaitu ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, bergelar pembangkang, semi-kerajaan dan kini menjadi pembangkang di Parlimen Putrajaya.”

Jelasnya, sebanyak 73 buah surau telah menerima sumbangan membabitkan kelengkapan untuk surau-surau terbabit melakukan persediaan sebagai kegunaan qariah pada bulan Ramadan.

Dalam perkembangan berlainan, beliau memaklumkan bahawa UMNO Putrajaya telah menyalurkan agihan serunding yang saban tahun pada bulan Ramadan diberikan kepada komuniti setempat.

“Menjelang Ramadan saya meneruskan tradisi yang saban tahun dilaksana dengan agihan serunding kepada warga Putrajaya. Hal ini digerakkan oleh ahli jawatankuasa UMNO Putrajaya, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian yang menjadi tenaga penggerak melancarkan pemberian dengan meneyerahkan serunding terus ke pintu-pintu rumah di sini,” katanya.

Dalam kesempatan terbabit, beliau merakamkan penghargaan dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha UMNO dan sama-sama melancarkan gerak kerja demi rakyat.

Beliau juga mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua masyarakat dan berharap semoga dengan sumbangan yang diberi dapat dimanfaatkan dan sama-sama meningkatkan ibadah dalam bulan Ramadan.

Dilaporkan, umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada esok selepas diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Ketika mengumumkannya, beliau berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari tersebut bagi menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. – UMNO Online