Berita

Pemuda UMNO Bukan Eksploitasi Isu Kalimah Allah Pada Stoking, Semua Pihak Perlu Lebih Sensitif

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan menggesa semua pihak untuk lebih sensitif terhadap isu yang membabitkan keharmonian agama dan kaum dalam negara.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai serbaneka KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart).

Dalam hal ini, Tengku Muhammed Hafiz turut membidas mana-mana pihak yang menganggap tindakan Pemuda UMNO yang diketuai Dr Akmal Salleh sebagai cuba mengeksploitasi isu terbabit untuk kepentingan politik.

Hal ini berikutan kelantangan Pemuda UMNO berkaitan isu tersebut malah membuat laporan polis di setiap negeri agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera.

“Tindakan KK Mart itu sendiri yang memberi gambaran negatif terhadap keharmonian agama dan kaum dalam negara, maka seharusnya kecam KK Mart supaya lebih sensitif dan baiki sistem prosedur perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama beliau mengajak semua pihak untuk terapkan semangat kebersamaan khususnya dalam kalangan anggota komponen Barisan Nasional (BN).

“Terapkan semangat BN yang menjaga keharmonian semua kaum,” katanya lagi.

Dilaporkan, pada 13 Mac lalu tular di media sosial penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Mart.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menekankan bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di mata umat Islam dan meletakkannya pada stoking adalah satu penghinaan. – UMNO Online