Berita

Demi Warga Putrajaya, Suara Di Parlimen Untuk Keselesaan Rakyat

KUALA LUMPUR – Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya yang juga Senator Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya menyuarakan keutamaan untuk kerajaan bertindak dan melakukan pelbagai penambahbaikan di Putrajaya demi keselesaan penduduk.

Permasalahan tempat letak kereta yang dihadapi oleh para penduduk Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) diangkat dalam Dewan Negara agar penyelesaian tuntas dapat dilaksana.

“Pada 1 Februari 2024, saya telah mengadakan satu pertemuan dengan wakil-wakil komuniti PPAM Putrajaya untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat yang tinggal di PPAM Ketumbar, Palma, Melinjau, Sederi, Jintan, Seruling, Larai, Selasih, Pudina, Kasturi dan Dalur.

“Mereka mengutarakan masalah parkir merupakan masalah utama yang dihadapi oleh rakyat di kawasan itu. Saya ingin mencadangkan agar Kerajaan membina tempat parkir bertingkat di tapak yang masih kosong di kawasan perumahan mereka. Rakyat juga bersedia untuk membayar sewaan parkir tersebut sekiranya harga berpatutan,” katanya ketika menyertai perbahasan di Dewan Negara.

Beliau juga turut menimbulkan masalah tempatan untuk menempatkan pelajar-pelajar aliran agama Islam.

“Pada hari ini, Putrajaya hanya mempunyai sebuah sekolah yang dikenali sebagai SMKAPUTRA, yang terletak di Presint 11. Sekolah ini hanya mampu mengambil 100 orang pelajar pada setiap tahun. Permintaan yang diterima untuk memasuki sekolah jenis aliran ini adalah sebanyak 1000 hingga 1200 orang setiap tahun.

“Saya ingin mencadangkan agar pihak Kerajaan menubuhkan sekolah agama harian untuk anak-anak di Putrajaya, kawasan yang dicadangkan adalah di Presint 19. Konsep sekolah agama yang dicadangkan adalah sama seperti sekolah menengah agama penuh SMAKL.”

Turut disuarakan dalam sesi perbahasan tersebut, Hisamudin menekankan pentingnya Putrajaya untuk mempunyai sebuah sekolah sukan.

“Sekarang ini, anak-anak Putrajaya yang berbakat dalam bidang sukan akan ditempatkan di sekolah-sekolah sukan di negeri lain, seperti di Selangor dan Negeri Sembilan. Oleh itu, saya memohon supaya pihak Kerajaan dapat membina sebuah sekolah sukan yang boleh menempatkan 500 orang atlet pada satu masa di Putrajaya. Saya mencadangkan sekolah sukan ini dibina di Presint 14 Putrajaya.

“Selain itu, kami di Putrajaya juga memerlukan sebuah kolej khusus untuk pelajar Tingkatan Enam. Ini kerana buat masa ini, pelajar Tingkatan Enam Putrajaya masih menumpang di SMK 5 (1). Saya ingin mencadangkan agar Kerajaan boleh membina sebuah kolej Tingkatan Enam di Presint 5 demi kebaikan semua pelajar Putrajaya.”

Beliau turut menyebut berkaitan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ada sekarang masih menyewa premis di Kementerian Pendidikan namun masalah utama yang sering dihadapi adalah parkir di mana ibubapa atau pelanggan yang ingin datang berurusan, tidak dapat meletakkan kenderaan mereka.

“Oleh itu, saya ingin mencadangkan agar sebuah bangunan baru dibina untuk Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya di Presint 12 bagi memudahkan rakyat di Putrajaya berurusan dengan jabatan ini,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya