Rencana

UMNO Terus Relevan Dalam Usia 78 Tahun

11 May 2024 parti keramat UMNO telah berusia 78 tahun. Dalam usia yang semakin lama ini UMNO masih kuat dan berdiri megah sebagai wadah perjuangan Bangsa Melayu untuk agama, bangsa dan negara.

UMNO mesti terus aktif dalam masyarakat supaya UMNO terus relevan sebagai sebuah parti politik orang Melayu yang berjuang demi agama, bangsa dan negara buat selamanya.

Bagaimanapun untuk menjadi terus relevan, pemimpin UMNO harus membersihkan parti dari sebarang perbuatan sakau menyakau harta UMNO.

Tidak dapat dinafikan setelah parti ini menjadi kaya raya terdapat beberapa kerat Pemimpin yang mengaut kesenangan hidup dengan menjadi penyakau harta milik UMNO. Perbuatan sakau ini berlaku selepas UMNO direlakan oleh PemimpinPemimpin ketika itu di batalkan (di haramkan) oleh mahkamah pada bulan Februari 1988.

Sebagai Veteran UMNO, saya menggesa supaya mereka yang menyakau kekayaan milik orang Melayu itu harus bertanggungjawab atas perbuatan mereka.

Pihak kepimpinan UMNO digesa menubuhkan Sebuah Jawatankuasa Siasatan dan menyiasat semua penyakau terbabit serta meminta mereka menyerahkan semula harta milik UMNO.

Semua pemimpin dan anggota UMNO perlu berani “membersihkan” parti keramat itu dari sebarang kekotoran akibat rasuah dan salah guna kuasa sebagai satu semangat baharu sempena Menyambut Ulang Tahun UMNO yang ke-78 tahun ini.

“Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, UMNO harus bersikap terbuka dan pemimpin-pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran, kritikan malah sanggup berundur jika mereka di nasihat, di minta mahupun di desak untuk berbuat demikian demi menyelamatkan parti” kesayangan orang Melayu.

Merenung kejayaan UMNO selama 78 tahun, selain dari menjadi parti pemerintah, UMNO juga melahirkan geneasi muda yang berpelajaran dan berdaya maju. UMNO telah banyak menabur jasa kepada orang Melayu dan menerusi konvesyen UMNO pada awal 70 an maka lahirlah Maktab MARA, UiTM dan Kolej-kolej profesional MARA.

Pada majlis konvokesyen UiTM Ogos 2023, seorang pelajar telah muncul sebagai graduan ke satu juta sekaligus membuktikan MARA telah melahirkan lebih satu juta graduan mulai tahun lepas dan ini bermakna setiap 30 rakyat Malaysia, seorang daripadanya adalah graduan UiTM.

Baru-baru ini pula dua pelajar Akauntansi UiTM telah muncul sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan Associantion of Chartered Certified Accountants (ACCA) iaitu satu kelulusan bertaraf antarabangsa. Kejayaan yang ducapai ini adalah hasil didikan dari institusi yang diilhamkan oleh UMNO.

Saya adalah antara orang yang menyaksikan sejarah penubuhan UMNO Bahagian Pulau Pinang. Pada tahun 1947 saya menyertai UMNO dan aktif menjalankan pelbagai aktiviti termasuk terlibat dalam projek pembinaan Rumah UMNO Bahagian Pulau Pinang.

Rumah UMNO itu adalah yang pertama dibina di Tanah Melayu dengan usaha Pemimpin-Pemimpin dan anggota UMNO di Pulau Pinang dan kini tiada lagi dapat dilihat secara fizikal kerana telah dirobohkan.

Rentetan sejarah pembinaan sehingga robohnya bangunan itu telah berjaya dibukukan dan saya mengambil kesempatan ini untuk meminta semua anggota UMNO khasnya membaca buku itu. Ini kerana buku itu bukan sekadar menceritakan Rumah UMNO itu sebagai Rumah UMNO yang pertama di Malaysia malah buku itu turut memuatkan cerita-cerita saya mengenai peristiwa-peristiwa penting negara yang saya saksikan di Pulau Pinang.

Saya mendoakan agar UMNO terus kekal memerintah negara ini seperti slogannya ‘Dulu, Kini dan Selamanya.

TAN SRI DATO’ SERI (DR) HAJI MOHD YUSSOF LATIFF
Veteran UMNO
Tokoh Melayu Terbilang 2017
Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang)

*******************