Berita

TVET ‘Game Changer’ Kebolehpasaran Negara, Bukan Lagi Pilihan Kedua Atau Ketiga – Tengku Hafiz

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berpandangan kerajaan telah berjaya memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua atau ketiga tetapi ia merupakan ‘game changer’ kepada kebolehpasaran dalam dan luar negara.

Katanya ini kerana rata-rata ibu bapa cakna dan faham akan peluang yang tersedia kepada para lepasan TVET.

“Melihat kepada cabaran kepesatan teknologi dan kemajuan industri masa kini. Banyak graduan yang berdepan dengan masalah pengangguran dan kerenah pemain industri yang meletakkan banyak syarat tambahan untuk mengambil graduan baharu.

“Namun yang demikian, berdasarkan statistik daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kadar kebolehpasaran TVET untuk tahun 2023 meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada 94.0 peratus berbanding 92.5 peratus pada tahun 2022. Peningkatan ini membuktikan bahawa tanggapan sebahagian masyarakat bahawa ijazah universiti hanya satu-satunya laluan kepada kerjaya adalah tidak benar.

“Kerajaan perlu diberikan pujian atas usaha berterusan mempromosikan program- program TVET sebagai pilihan utama kepada pelajar. Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas pelbagai inisiatif dan gerak kerja menjadikan TVET sebagai salah satu enjin pemacu pembangunan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bahagian UMNO Putrajaya dalam pada itu berkata, menjelang pelancaran Dasar TVET Negara, sudah tentu rakyat ternanti-nanti akan perancangan kerajaan untuk terus memajukan TVET selepas 60 tahun dibangunkan secara rasmi di Malaysia.

“Namun begitu, apa yang lebih penting adalah dengan pelancaran ini mencerminkan kesungguhan kerajaan bukan sahaja untuk membela anak bangsa bahkan merealisasikan impian negara kita menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Justeru itu beliau berkata untuk menjadikan TVET sebagai pilihan utam, kerajaan disaran untuk menaiktaraf program-program sedia ada dengan pendekatan IR4.0 serta mewujudkan program-program yang berkualiti tinggi seperti ‘Artificial Intelligent’,” ujar beliau.

Dengan ini menurut beliau TVET akan membawa pelbagai manfaat antaranya memberi peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat yang mana ia membolehkan individu untuk terus meningkatkan dan mengemaskini kemahiran dalam menghadapi perubahan teknologi dan permintaan pasaran.

“Dalam usaha ini, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing terutamanya sektor swasta. Hanya dengan sokongan semua pihak termasuk masyarakat akar umbi maka kita dapat pastikan masa depan yang baik untuk TVET dan negara di masa akan datang,” katanya. – UMNO Online