Berita

Tengku Adnan Santuni Pelajar SPM Dan STPM, Usaha UMNO Tak Banyak Alasan

PUTRAJAYA, 26 Nov – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa UMNO sentiasa melaksanakan pelbagai usaha termasuk program dan inisiatif bagi membantu golongan belia khususnya para pelajar yang sedang berjuang menuntut ilmu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata parti ini tidak banyak alasan dalam melaksanakan apa-apa perkara kerana realitinya telah terbukti sentiasa melakukan khidmat bakti untuk rakyat.

“Kami percaya bahawa golongan belia khususnya pelajar adalah peneraju masa depan negara. Oleh itu, UMNO akan terus memberi perhatian dan bantuan kepada mereka, sama ada dalam bentuk pendidikan dan kemahiran demi kelangsungan masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online.

Sebelum itu, beliau telah melancarkan Program Restu Ilmu SPM dan STPM 2024 yang dianjurkan oleh Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya.

Katanya, program ini merupakan salah satu inisiatif UMNO untuk memberi sokongan kepada calon-calon peperiksaan di sekitar Putrajaya, dengan tujuan menyediakan bantuan berupa alat tulis, bagi memastikan mereka memulakan peperiksaan dengan kelengkapan yang lengkap.

Jelasnya, ia bukan sahaja memberi sokongan material, tetapi juga memberikan sokongan moral yang sangat penting dalam proses pembelajaran.

“Calon-calon peperiksaan harus memanfaatkan peluang pendidikan yang ada dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mencapai cita-cita. Kejayaan dalam peperiksaan ini akan menjadi penentu masa depan mereka, membuka peluang untuk pendidikan yang lebih tinggi serta perkembangan kerjaya yang lebih baik.

“UMNOsendiri akan terus memperkasa pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan program, kerana pendidikan adalah kunci utama kepada kemajuan peribadi dan negara.

Menurut beliau, UMNO sentiasa berusaha untuk memastikan golongan pelajar, terutamanya dari keluarga pelbagai lapisan mendapat akses kepada bantuan yang diperlukan untuk berjaya dalam akademik.

“UMNO tidak banyak alasan dalam menjalankan tanggungjawabnya untuk membantu pelajar dan golongan belia. Usaha ini adalah bukti komitmen kami untuk melihat lebih ramai anak bangsa kita berjaya dalam bidang pendidikan.

“Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada para pelajar, tetapi juga memperlihatkan kesungguhan UMNO dalam melaksanakan agenda pendidikan dan pembangunan belia untuk masa depan yang lebih cemerlang.”

Menurut rekod, tahun ini, seramai 2,052 calon SPM dari 11 buah sekolah menengah dan 155 calon STPM menerima manfaat daripada program ini.

Program yang berlangsung di SMKP Presint 18(1) itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim dan Naibnya yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya di samping Dr. Mohd. Azam Ahmad selaku pemangku Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalime) mewakili Menteri Pendidikan. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.