Isu Semasa

BERSIMPATILAH PADA NASIB RAKYAT

Di kala Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sedang bersungguh-sungguh mengingatkan rakyat tentang cabaran ekonomi semasa, Parti Amanah Negara (Amanah) pula dilihat seakan memperlekeh keadaan semasa; seolah-olah krisis ini bukanlah isu mendesak tetapi sekadar peluang untuk terus bermain politik dalam gelanggang kuasa.

Cadangan Amanah untuk memahat nama di kerusi Parlimen Titiwangsa, Putrajaya, dan Labuan pada PRU-16 bukan sekadar cita-cita politik tetapi satu bentuk pencerobohan adab dalam semangat perpaduan kerajaan Madani. Di saat rakyat sedang sesak nafas memikirkan kos sara hidup, Amanah nampaknya lebih ghairah berpolitik demi kelangsungan ego sendiri.

Amanah dilihat semakin terperangkap dalam sindrom ‘lupa daratan’. Ketika negara memerlukan kestabilan, mencari jalan terbaik untuk membantu Perdana Menteri menerajui negara dengan sempurna, mereka memilih untuk mencetuskan geseran sesama rakan sendiri.

Kelak nanti, rakyat bukan sahaja hilang keyakinan; malahan akan mula mempersoalkan sama ada peranan Amanah sebagai rakan gabungan benar-benar membina, atau sekadar menjadi beban yang hidup atas konflik yang dicipta sendiri.

Parlimen Titiwangsa hari ini sudah mempunyai wakil yang berkhidmat di bawah Barisan Nasional (BN). Maka telah timbul persoalan, apakah niat sebenar Amanah sebenarnya?

Adakah benar untuk berbakti kepada rakyat atau sekadar mahu mencetuskan pertembungan politik demi kepentingan sendiri?

Hakikatnya, masih banyak kawasan lain yang boleh ditandingi tanpa mengganggu mandat sedia ada. Jangan jadikan Titiwangsa sebagai medan eksperimen ‘syok sendiri’ yang akhirnya hanya merugikan rakyat. Rakyat hari ini mahukan pembela yang konsisten, bukan pelakon politik yang hanya muncul apabila ternampak peluang dan bahang pilihan raya mula terasa.

Amanah kena belajar cermin diri, bukan cermin orang lain. Politik bukan soal meminjam kekuatan rakan gabungan untuk nampak gagah. Amanah perlu sedar diri dan lebih kerap mengukur baju di badan sendiri, bukannya cuba mencuri baju orang lain.

Sokongan rakyat bukan boleh dipaksa-paksa. Jika akar umbi sendiri masih rapuh, janganlah bermimpi mahu menakluk kerusi yang sudah terang-terangan milik pihak yang lebih berjasa.

Alasan “parti lain sudah banyak kerusi” adalah hujah paling dangkal dan memalukan. Ini bukan agihan bantuan zakat; ini adalah mandat rakyat!

Rakyat tidak mengundi untuk melihat politik dijadikan medan tawar-menawar seolah-olah membahagikan “harta rampasan perang”. Rakyat mengundi untuk melihat kita bekerja, melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti dengan penuh amanah. Tetapi Amanah ini dilihat lebih cenderung menjaga tembolok sendiri daripada memahami denyut nadi rakyat yang sedang bergelut dengan tekanan hidup.

Di Putrajaya dan Labuan, rakyat mahukan wakil yang sanggup turun padang; berhujan berpanas menyelesaikan kemelut setempat, bukan sekadar berpidato dari jauh. Rakyat sudah muak dengan politik retorik dan skrip basi yang hanya muncul setiap lima tahun sekali. Amanah perlu sedar, kerusi Parlimen bukan hadiah percuma yang boleh dituntut sesuka hati tetapi amanah besar yang menuntut komitmen, kerja keras dan keikhlasan kepada rakyat.

Amanah perlu berhenti bersikap seperti ‘anak manja’ dalam politik yang sentiasa menuntut hak tanpa membuktikan jasa. Jangan ingat politik ini pentas uji nasib atau sarkas untuk mencari perhatian. Kalau niat masuk gelanggang sekadar mahu ‘mencari gaduh’ dengan rakan sekutu, kita atur cara lain.

UMNO dan BN akan tetap dengan prinsipnya; kami bertanding atas kekuatan akar umbi, kami menang atas mandat keringat dan kami tidak akan sesekali tunduk kepada politik “pintu belakang” yang cuba dibawa oleh pihak yang tidak tahu malu.

Akhirnya, bersimpatilah dengan nasib rakyat yang sedang bergelut setiap hari. Politik bukan medan berebut pengaruh, tetapi amanah untuk berkhidmat. Jika itu pun gagal difahami, jangan terkejut apabila rakyat bangkit menilai dan membuat keputusan yang tidak memihak kepada mereka yang lupa tujuan sebenar diberi kuasa.

DATUK MOHD RAZLAN BIN MUHAMMAD RAFII
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Seputeh

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.