Aktiviti & Komuniti

Mesyuarat Cawangan UMNO Putrajaya Medan Kukuhkan Perpaduan dan Silaturahim

PUTRAJAYA, 16 April – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan mengajak anggota parti untuk mengaplikasi mesyuarat cawangan UMNO Putrajaya yang sedang berlangsung sebagai antara usaha memperkukuhkan perpaduan, silaturahim dan semangat perjuangan di peringkat akar umbi.

Beliau yang hadir ke beberapa mesyuarat cawangan di sekitar Putrajaya berkata, persidangan cawangan bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan parti, sebaliknya menjadi medan penting untuk mengeratkan hubungan sesama ahli dan menyatukan saf perjuangan.

Menurut beliau, kekuatan UMNO bermula di peringkat cawangan kerana di situlah tempat ahli-ahli berkumpul, berbincang dan menyusun gerak kerja demi kepentingan masyarakat malah setiap ahli perlu mengetepikan perbezaan pandangan demi kepentingan parti.

“Kita mungkin datang daripada latar belakang yang berbeza dan mempunyai pandangan yang tidak sama, tetapi dalam UMNO kita disatukan oleh matlamat yang selari iaitu mahu melihat agama, bangsa dan negara terus terbela,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan dalam parti menjadi asas penting untuk memastikan UMNO terus kuat dan relevan.

“Kita telah belajar dari perjalanan dan laluan parti yang membuktikan bahawa UMNO tidak akan mampu bergerak ke hadapan jika ahlinya berpecah. Sebab itu saya menyeru supaya semua ahli di setiap cawangan terus memelihara hubungan yang baik, saling menghormati dan mengutamakan semangat kekeluargaan.

“Cawangan adalah nadi kepada parti. Jika cawangan kuat, parti akan kuat dan kita akan dapat bergerak melaksanakan amanah UMNO. Kita tak perlu banyak alasan untuk melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Selain menghadiri mesyuarat, Dr Tengku Iqbal turut berkesempatan menyantuni komuniti dalam sambutan rumah terbuka Aidilfitri antaranya di PPAM Dahlur, PPAM Kasturi dan PPAM Seruling yang diadakan bersama penduduk.

“Kehadiran ini bukan hanya untuk duduk semeja dan beramah mesra, tapi di sinilah lahirnya rasa percaya dan semangat perpaduan. Silaturahim yang dibina inilah yang menjadi kekuatan sebenar kepada kita dalam satu keluarga besar Putrajaya,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan muda agar lebih aktif dalam cawangan dan tidak hanya menjadi pemerhati.

“Anak-anak muda marilah tampil bersama dan jadikan UMNO sebagai platform bagi menyumbang idea baharu dan menjadi penyambung kepada perjuangan parti pada masa akan datang,” katanya.

Menurut beliau, UMNO perlu terus diperkasakan dengan kehadiran generasi muda yang mampu menjadi jambatan antara kepimpinan lama dan baharu. – UMNO
Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.