Tengku Adnan Ucap Terima Kasih Kepada Tetamu Hadir Majlis Perkahwinan Anak di Jakarta
Tengku Adnan Ucap Terima Kasih Kepada Tetamu Hadir Majlis Perkahwinan Anak di JakartaPUTRAJAYA, 25 Mei — Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr. Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan penghargaan kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis perkahwinan anak perempuannya, Tengku Nadira Munawwarah bersama pasangannya, Teuku Agassi Revano Harsya di Hotel Mulia Senayan, Jakarta.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah serta Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut hadir dan menjadi saksi pernikahan pasangan pengantin bersama Menteri Koordinator Infrastruktur dan Pembangunan Kewilayahan Indonesia, Bapak Agus Harimurti Yudhoyono.
Menurut Tengku Adnan, beliau amat menghargai kehadiran para tetamu yang bersama-sama meraikan hari bersejarah buat keluarganya.
“Terima kasih pada yang telah menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan saya, Tengku Nadira Munawwarah dan pasangannya Teuku Agassi Revano Harsya di Hotel Mulia Senayan, Jakarta,” katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO termasuk Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Lokman Noor Adam.
Selain itu, lebih 150 ketua-ketua bahagian, ketua Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian UMNO dari seluruh negara turut hadir bersama lebih 15 Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya.
Sebelum majlis pernikahan berlangsung, beberapa acara tradisi turut diadakan termasuk majlis pengajian, bersiram dan medodareni yang berlangsung di kediaman Tengku Adnan di Jakarta.
Beliau turut mendoakan agar pasangan pengantin baharu itu dikurniakan kebahagiaan dan kesejahteraan dalam melayari alam rumah tangga. – UMNOPutrajaya







