Ziarah Kasih UMNO Putrajaya, Sumbangan Kerusi Roda Ringankan Beban Pengundi Sakit
PUTRAJAYA, 22 Mei – Program Ziarah Kasih anjuran UMNO Bahagian Putrajaya terus diteruskan sebagai usaha menyantuni masyarakat setempat, khususnya pengundi yang memerlukan perhatian dan bantuan kebajikan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata beliau telah mewakili Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, turun padang dan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang uzur dan memerlukan.
Ini termasuklah sumbangan berupa kerusi roda serta bantuan kewangan kepada penduduk yang memerlukan sokongan.
Menurut beliau, program seperti ini bukan sekadar agenda kebajikan, tetapi juga manifestasi keprihatinan berterusan UMNO terhadap masyarakat akar umbi.
“Ziarah Kasih ini adalah tanda bahawa kami tidak pernah melupakan pengundi dan masyarakat yang telah bersama kami selama ini. Walaupun sumbangan ini tidak besar, kami berharap ia dapat meringankan sedikit beban mereka yang sedang diuji dengan kesihatan,” katanya.
Terdahulu beliau telah menyampaikan bantuan dalam ziarah tersebut iaitu kepada Saudara Razi dari Blok 3B Presint 9, Adik Hazim Roslan di Jalan P9A Presint 9, serta Saudara Razak dari P17RK1, yang kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan kesihatan.
Ahmad Faisal turut menegaskan bahawa usaha menyantuni golongan yang memerlukan akan diteruskan dari semasa ke semasa, selaras dengan pendekatan kebajikan parti di peringkat bahagian.
“Kami akan terus turun ke lapangan, melihat sendiri keadaan penduduk, dan memastikan mereka yang sakit atau memerlukan bantuan tidak terpinggir. Ini adalah tanggungjawab kami sebagai pemimpin masyarakat,” tambahnya.
Program Ziarah Kasih ini adalah antara usaha berterusan yang digerakkan sebagai sebahagian daripada agenda kebajikan berterusan UMNO Bahagian Putrajaya. – UMNO Online

