Tengku Adnan Ucap Selamat Ulang Tahun Ke-52 Barisan Nasional
PUTRAJAYA – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan Selamat Ulang Tahun Ke-52 kepada Barisan Nasional (BN), sambil menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar gabungan itu dalam pembangunan negara sejak penubuhannya.
Beliau berkata, sepanjang lebih lima dekad, BN telah memainkan peranan penting dalam membawa pembangunan, kestabilan politik serta kemajuan negara yang memberi manfaat kepada rakyat pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, kejayaan yang dicapai negara hari ini tidak dapat dipisahkan daripada komitmen dan usaha berterusan yang telah digerakkan oleh kepimpinan serta seluruh jentera BN dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Semoga ulang tahun ke-52 ini menjadi titik tolak untuk terus memperkukuh semangat perjuangan, mempererat kesatuan serta meningkatkan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara tercinta,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan ulang tahun BN.
Beliau turut berharap seluruh kepimpinan dan ahli parti komponen BN terus berganding bahu menghadapi cabaran semasa serta memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan gabungan itu demi masa depan Malaysia yang lebih maju, stabil dan sejahtera.
Sambutan ulang tahun ke-52 BN dilihat sebagai simbol kesinambungan perjuangan serta komitmen berterusan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan pembangunan negara. – UMNOPutrajaya

