Berita

Selamat Bersidang UMNO Bahagian 2026, Perkukuh Perpaduan dan Hala Tuju Parti

PUTRAJAYA – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor, menyeru seluruh perwakilan agar menjadikan Persidangan UMNO Bahagian 2026 sebagai medan untuk memperkukuh perpaduan, menyatukan fikrah dan merangka hala tuju perjuangan parti demi agama, bangsa serta negara.

Menurut beliau, persidangan tahunan itu mempunyai peranan penting dalam memperkasakan organisasi parti di semua peringkat selain menjadi platform terbaik untuk menilai pencapaian, memperbaiki kelemahan dan menyusun langkah menghadapi cabaran semasa.

Beliau berkata, setiap perwakilan perlu memanfaatkan ruang persidangan dengan sebaik-baiknya untuk bermuhasabah, mengemukakan pandangan secara matang dan berhemah serta memperkukuh tekad dalam memastikan perjuangan parti terus relevan dan mendapat kepercayaan rakyat.

“Persidangan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, sebaliknya menjadi wadah untuk mempereratkan ukhwah, memperkukuh kesepakatan dan memperbaharui semangat perjuangan dalam kalangan ahli parti,” katanya dalam ucapan sempena Persidangan UMNO Bahagian 2026.

Dalam masa yang sama, beliau berharap semua persidangan yang berlangsung di seluruh negara dapat berjalan dengan lancar, tertib dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan UMNO terletak pada kesatuan dan komitmen ahlinya dalam meneruskan perjuangan serta memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara.

“Bersama-sama kita terus memperkukuh perjuangan parti dan melaksanakan amanah demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara,” katanya. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.